Warga emas bergantung wang bantuan Baitulmal

Pengerusi Perkasih, Norfadilah Mansor memberi bantuan beras kepada Mustafa sambil diperhatikan Zaiton.
Pengerusi Perkasih, Norfadilah Mansor memberi bantuan beras kepada Mustafa sambil diperhatikan Zaiton.
A
A
A

SEREMBAN – [DIKEMASKINI] Selepas jatuh sakit, sepasang suami isteri warga emas yang tinggal di rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Senawang di sini meneruskan kelangsungan hidup dengan bergantung kepada wang bantuan Baitulmal.

Mustafa Katim, 60, yang menghidap diabetes sejak tiga tahun lalu hanya mampu bergerak dengan kerusi roda selepas kaki kanannya terpaksa dipotong sejak November lalu.

Isterinya, Zaiton Zakaria, 55, pula diuji dengan penyakit tiroid, jantung, hipertensi dan diabetes.

Menurut Mustafa, dia meneruskan hidup dengan bantuan bulanan yang diterima daripada Baitulmal sebanyak RM360 kerana tidak lagi mampu bekerja.

"Dulu, saya dan isteri berniaga kedai makan.Tapi pelaksanaan perintah kawalan pergerakan(PKP) sejak dua tahun lalu menyebabkan perniagaan saya terjejas.

"Bila PKP dah mula reda, kaki saya pula terpaksa dipotong. Nak buat apa pun tak boleh," katanya kepada Sinar Harian selepas menerima kunjungan dan sumbangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Perkasih di sini pada Khamis.

Jelasnya, dengan wang bantuan Baitumal itulah dia membayar duit sewa rumah sebanyak RM124 sebulan dan selebihnya digunakan untuk perbelanjaan lain.

Katanya, dia juga menyara seorang anak berusia 19 tahun dan seorang cucu berusia lima tahun.

Artikel Berkaitan:

"Anak saya kesemuanya tujuh orang, tapi masing-masing pun hidup sederhana dan saya tak mahu menyusahkan mereka.

"Kalau kaki saya tak dipotong, saya tiada masalah untuk berniaga balik.Ini betul-betul ujian ALLAH kepada saya.

Nak harap isteri saya, dia pun tak larat," katanya.

Bercerita lanjut mengenai keadaan kesihatan isteri, Mustafa berkata, isterinya kini terpaksa menjalani rawatan susulan di hospital empat bulan sekali dan dua bulan sekali di Klinik Kesihatan Senawang.

Katanya, dia juga mudah mengalami panas badan dan akan mandi lapan kali sehari.

"Dengan keadaannya yang begitu, agak sukar untuk isteri saya bekerja.

Anak bongsu yang tinggal bersama kami pun masih mencari kerja sesuai," katanya.

Apa yang menjadi harapan Mustafa sekarang ialah untuk berpindah di tingkat bawah rumah PPR yang dihuninya kini bagi memudahkannya untuk bergerak.

Namun disebabkan dia mempunyai tunggakan sewa rumah sebanyak RM1,500 permohonannya ditolak.

"Kalau nak pergi ke klinik, anak saya terpaksa dukung saya sehingga ke tingkat bawah.

Kalau dapat pindah tingkat bawah mudahlah sikit.

"Saya sangat berharap ada pihak yang sudi membantu," katanya.

Sementara itu Jurucakap Baitulmal berkata, berdasarkan rekod, Mustafa bersama isteri adalah penerima bantuan kewangan secara bulanan sejak 2014 berjumlah RM250 sebelum ia dinaikkan kepada RM360 bermula tahun ini.

Selain itu, penama juga pernah dibantu dengan bantuan tunggakan sewaan rumah sebanyak RM4,000, bantuan modal perniagaan sebanyak RM10,000, bantuan bil-bil utiliti yang mencecah hampir RM2,000, bantuan persekolahan pada setiap tahun, bantuan perubatan isteri dan bantuan makanan asas.

"Berkenaan tunggakan sewa rumahnya sebanyak RM1,500, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan(MAINS) akan membantu menyelesaikannya," katanya.

Bagi yang berhasrat menghulurkan bantuan, boleh salurkan ke nombor akaun (05112 410 00 01 6732) Bank Simpanan Nasional) atas nama Mustafa Katim.