Sila log masuk terlebih dahulu.

MAS kebanggaan negara, rakyat tidak sokong jika dijual: Najib

13 Mac 2019 | Sinar AM
A
A
A


MAS kebanggaan negara, rakyat tidak sokong jika dijual: Najib

Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta kerajaan agar tidak menjual atau menutup Malaysia Airlines Bhd (MAS) kerana ia adalah kebanggaan negara dan mesti terus menjadi syarikat penerbangan kebangsaan.

Katanya tidak mengapa jika kita ada syarikat penerbangan lain. MAS masih syarikat penerbangan kebangsaan. Ini adalah kebanggan negara dan kita tidak boleh gantikannya dengan yang lain. Hampir kesemua negara ada syarikat penerbangan kebangsaan sendiri.

Najib berkata, ketika beliau merupakan Pengerusi Khazanah Nasional (Khazanah), MAS sedang dalam pelaksanaan pelan pemulihan dan ia memerlukan lebih sedikit masa, untuk dipulihkan.

Terdahulu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan kini sedang mempertimbangkan beberapa pilihan yang ada mengenai masa hadapan MAS.

MAS diswastakan di bawah Khazanah, mengalami kerugian lebih kecil tahun lepas disebabkan beberapa faktor termasuklah kekurangan kakitangan pada suku tahun kedua 2018.

Boeing 737 Max 8 dilarang ke Malaysia

Pesawat Boeing 737 Max 8 tidak dibenarkan melalui ruang udara Malaysia atau melakukan penerbangan transit ke negara ini, berkuat kuasa serta-merta.

Ketua Pegawai Eksekutif, Pihak Berkuasa Penerbangan Malaysia (CAAM), Ahmad Nizar Zolfakar, berkata arahan penggantungan operasi pesawat Boeing berkenaan akan terus dilaksanakan sehingga notis selanjutnya dikeluarkan.

CAAM ingin merujuk kepada dua nahas kemalangan pesawat membabitkan jenis Boeing 737 Max 8 dalam tempoh kurang dari lima bulan. Kita ingin menjelaskan bahawa Malaysia tidak mempunyai sebarang syarikat penerbangan yang beroperasi menggunakan Boeing 737 Max 8.

CAAM dengan ini menggantung operasi pesawat Boeing 737 Max 8 daripada melalui ruang udara Malaysia atau dari negara ini, selain melakukan penerbangan transit dari Malaysia sehingga notis selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Tiada 'Red Alert' di Hospital Sultan Ismail

Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menafikan penularan khabar angin menerusi WhatsApp kononnya Hospital Sultan Ismail Johor Bahru membuat perisytiharan ‘Red Alert’ susulan terdapat beberapa kes kematian akibat pencemaran sisa toksid bandar raya itu.

Pengarahnya, Dr Selahuddeen Abd Aziz, berkata hingga kini tiada sebarang kematian susulan kejadian pembuangan sisa toksik di daerah Johor Bahru.

Justeru, JKNJ menasihatkan orang ramai supaya mengelak daripada mempercayai dan menyebar maklumat palsu yang boleh menimbulkan kerisauan.

Terdahulu, media melaporkan, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal mengesahkan sebanyak 13 sekolah berhampiran Sungai Kim Kim di sini, terpaksa ditutup buat sementara waktu akibat pencemaran dengan bahan kimia mengeluarkan gas metana.

Cinta ditolak, pelajar tingkatan satu cuba bunuh diri

Seorang pelajar lelaki tingkatan satu cuba membunuh diri dengan memanjat dan berjalan di atas bumbung bangunan dua tingkat sekolahnya di Banting, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supt Azizan Tukiman berkata polis menerima panggilan daripada pihak pentadbiran sekolah itu mengenai insiden berkenaan kira-kira pukul 1.30 petang semalam.

Bagaimanapun kata beliau, pelajar itu berjaya diselamatkan setelah dipujuk hampir setengah jam oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor.

Beliau berkata pelajar itu hanya mengalami kecederaan ringan pada bahagian lengannya semasa proses menyelamat dan dibawa ke Hospital Banting untuk rawatan.

Katanya siasatan mendapati pelajar itu mengaku cuba membunuh diri kerana kecewa apabila cintanya ditolak oleh seorang pelajar perempuan sebayanya selepas dia meluahkan perasaan kepada gadis itu kelmarin.

Pakistan haram filem Bollywood

Pakistan mengarahkan panggung wayang di seluruh negara supaya tidak menayangkan filem keluaran India, susulan ketegangan yang semakin memuncak antara dua negara itu di wilayah Kashmir.

Situasi berkenaan memaksa rangkaian pawagam terbesar di negara itu, Cinepax Cinemas menayangkan semula filem-filem lama Pakistan.

Ini bukan kali pertama arahan seumpama itu dikeluarkan kerana beberapa tahun kebelakangan ini arahan sama pernah dikuatkuasakan setiap kali berlakunya konfrontasi di kawasan Garisan Kawalan (LoC), iaitu sempadan de facto yang memisahkan Kashmir.

Filem Bollywood yang kebiasaannya berdurasi selama tiga jam amat popular dalam kalangan rakyat Pakistan.

“Jumlah pengunjung panggung wayang jatuh mendadak sejak arahan itu dikeluarkan,” kata pegawai eksekutif Media City Productions, Syed Mubashir Imam.