Konvokesyen IPG kali ke-11 diadakan secara bersemuka

Mohd Radzi Md Jidin
Mohd Radzi Md Jidin
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa Istiadat Konvokesyen Institut Pendidikan Guru (IPG) KPM kali ke-11 bakal diadakan secara bersemuka bermula 27 hingga 31 Mac 2022.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, istiadat konvokesyen tersebut melibatkan semua graduan IPG bagi tahun 2020 dan 2021 iaitu seramai 8,799 orang.

“Istiadat Konvokesyen IPG KPM secara bersemuka akan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Perincian lanjut mengenai konvokesyen tersebut akan dimaklumkan kepada semua graduan terlibat dalam tempoh terdekat,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Dalam masa sama, beliau berkata, Konvokesyen IPG KPM secara dalam talian tahun 2021 yang dijadualkan pada 20 hingga 22 Disember depan juga akan diteruskan mengikut perancangan memandangkan semua persiapan bagi majlis tersebut telah dibuat.

Katanya, konvokesyen tersebut akan disiarkan melalui YouTube rasmi Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan Facebook Konvo IPG.

“Graduan yang telah mendaftar bagi konvokesyen secara dalam talian ini juga boleh mengikuti konvokesyen secara bersemuka pada Mac 2022. KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik,” jelas beliau.

Artikel Berkaitan: