X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

Sampel burung hijrah dihantar untuk kaji punca JE di Kedah

Mohamad Shahadan (tengah) menyerahkan cenderahati kepada Dr Mohd Hayati (kanan) selepas perasmian Program Gotong Royong Perdana Pasca Banjir Musim Peralihan Monsun Timur Laut Peringkat Daerah Baling di Surau Kampung Bukit, Kuala Kuang, Kupang, Baling pada Ahad.
A
A

BALING - Sampel burung hijrah yang ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kedah telah dihantar untuk analisis makmal bagi mengenal pasti punca berlakunya jangkitan Japanese Encephalitis (JE) sehingga mengakibatkan tiga kematian di Kedah tahun ini.

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman memberitahu, sampel itu diperolehi daripada burung hijrah yang ditangkap di kawasan sekitar kes di Jalan Tanjung Bendahara dan Jalan Pegawai.

Menurut Dr Mohd Hayati, tangkapan burung hijrah dilakukan untuk meneliti dan mengenal pasti punca jangkitan JE hingga menyebabkan dua kematian di daerah Kota Setar dan satu kematian di Pendang.

"Setakat ini, sampel burung telah dihantar Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah ke Institut Penyelidikan Perubatan di Kuala Lumpur bagi membolehkan punca jangkitan virus tersebut dapat diteliti.

"Bagaimanapun, analisis makmal ini memerlukan masa memandangkan ujian ke atas tikus perlu dijalankan untuk mengkaji virus tersebut dan melihat kesannya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Gotong-Royong Perdana Pasca Banjir Daerah Baling Peralihan Monsun Timur Laut Peringkat Daerah Baling di Surau Kampung Bukit, Kuala Kuang, Kupang di sini pada Ahad.

Hadir sama, Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim; Exco Pendidikan, Agama dan Sumber Manusia negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang, Datuk Najmi Ahmad serta Pegawai Daerah Baling, Mohamad Shahadan Abdullah.

Bagaimanapun, Dr Mohd Hayati berkata, pihaknya yakin keputusan analisis makmal akan diperolehi tidak lama lagi dan tiada pertambahan baharu kes jangkitan JE direkodkan di negeri ini.

Pada November lepas, JKN Kedah mengisytiharkan wabak JE di Kota Setar selepas dua kematian melibatkan golongan dewasa yang direkodkan pada 18 dan 25 November lalu.

Ia selepas satu lagi kes kematian melibatkan mangsa kanak-kanak berusia empat tahun direkodkan di Pendang pada 13 Oktober lepas.

Dalam perkembangan lain, Dr Mohd Hayati memaklumkan, pembinaan Hospital Pendang kini sudah mencapai hampir 90 peratus dan dijangka mula beroperasi pada April 2022.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!