Tempoh diskaun saman trafik dilanjutkan sehingga 31 Disember ini

Ketua Polis Negara, Datuk Sri Acryl Sani Abdullah Sani
Ketua Polis Negara, Datuk Sri Acryl Sani Abdullah Sani
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Tempoh pemberian diskaun saman trafik akan dilanjutkan sehingga 31 Disember ini.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pelanjutan itu bagi mengelakkan kesesakan ketika orang ramai membuat bayaran.

"Tawaran diskaun bagi kesalahan trafik melibatkan kesalahan terpilih hingga 80 peratus dengan had minimum RM30 akan dilanjutkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga 31 Disember.

"Langkah ini untuk memberi peluang dan masa kepada orang ramai untuk membuat pembayaran," katanya dlam sidang media sempena Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (APM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada Ahad.

Katanya, bagaimanapun orang ramai diingatkan supaya terus patuh dengan peraturan trafik yang ditetapkan biarpun dengan adanya pengurangan nilai saman itu.

"Pengurangan nilai saman ini diharap membantu masyarakat yang pendapatannya terjejas akibat Covid -19 supaya dapat menyelesaikan saman trafik yang tertunggak," katanya.

Dalam pada itu, beliau menyatakan pihaknya menyedari kesesakan trafik ke atas aplikasi MyBayar Saman susulan jumlah pengguna yang meningkat sepanjang tempoh pengurangan tersebut dilaksanakan.

"Ingin saya nyatakan pembayaran tunggakan saman boleh dibuat di semua kaunter trafik seluruh negara selain aplikasi MyBayar Saman.

Artikel Berkaitan:

"Pada masa sama saya mengarahkan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) melihat keperluan untuk menambah kaunter pembayaran jika jumlah pembayar saman meningkat," katanya.

Tempoh diskaun pembayaran saman trafik yang sepatutnya berakhir hari ini dilanjutkan sehingga 31 Disember depan.
Tempoh diskaun pembayaran saman trafik yang sepatutnya berakhir hari ini dilanjutkan sehingga 31 Disember depan.