Utamakan untung, tak pilih kaum

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SYARIKAT-syarikat swasta di negara kita tidak pernah melakukan diskriminasi kaum ketika mencari pekerja, sebaliknya lebih mementingkan prestasi pekerja itu yang mampu membawa keuntungan kepada syarikatnya.

“Apa yang lebih penting bagi syarikat-syarikat swasta ini ialah ingin mencari seseorang pekerja yang dedikasi dan berkebolehan dan mampu membawa keuntungan kepada syarikat.

“Oleh itu, tidak pernah timbul isu kononnya syarat pengambilan pekerja adalah berdasarkan kaum,” kata Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia, Datuk Michael Kang Hua Keong seperti dilaporkan dalam Sin Chew Daily.

Menurut Kang, apa yang diketahui, syarikat-syarikat swasta sentiasa mementingkan keuntungan, oleh itu untuk mencapai sasaran itu, kebanyakan majikan lebih gemar mendapatkan pekerja yang rajin dan kemampuan tanpa membezakan bangsa.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy bahawa kerajaan akan merangka strategik bagi membasmi isu diskriminasi kaum dalam bidang pekerjaan.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu sebelum ini mengulas hasil kajian sebuah pusat penyelidikan swasta yang menunjukkan kaum Melayu dan India sukar mendapat pekerjaan di negara ini

Menurut kajian pusat penyelidikan berkenaan, Centre for Governance and Political Studies ( Cent-GPS), graduan kaum India dan perempuan bertudung antara kumpulan yang paling tertindas dalam proses pengambilan pekerja bagi sektor swasta.

Kajian berkenaan mendapati pemohon kaum Cina paling banyak mendapat panggilan temuduga, manakala perempuan Melayu bertudung hanya mendapat 50 panggilan temuduga daripada 547 permohonan berbanding perempuan Melayu tidak bertudung yang mendapat 70 panggilan temuduga.

Artikel Berkaitan:

Kata Kang lagi, tidak kira bagaimana strategik ini dirangka, ia tetap tidak dapat mengubah dasar syarikat-syarikat swasta keuntungan dan produktiviti sentiasa menjadi sasaran utama mereka.

“Saya kurang yakin hasil kajian pusat penyelidikan swasta itu, oleh itu saya tidak faham kenapa menteri itu setuju dan menerima hasil kajian berkenaan,” jelas Kang.

Menurut beliau lagi, untuk menyelesaikan masalah diskriminasi kaum, kerajaan perlulah memulakannya daripada pendidikan terlebih dulu sebagai langkah awal untuk menyatu padukan semua kaum di negara ini.

Dalam pada itu, Ketua Wanita MCA, Datuk Heng Seai Kie pula berpendapat, langkah kerajaan untuk merangka strategik bagi memastikan semua kaum dapat memperoleh kerja secara adil dan saksama seharusnya dipuji.

Bagaimanapun, katanya, langkah ini perlu bermula daripada sektor awam memandangkan majoriti kakitangan awam adalah terdiri daripada kaum Melayu berbanding dengan kaum-kaum lain.

“Cadangan daripada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri adalah baik kerana ia dapat memastikan semua kaum dapat diberi peluang kerja dan kenaikan pangkat. Namun langkah ini perlu bermula daripada jabatan dan agensi kerajaan.

“Saya mencadangkan semua jabatan kerajaan menyiarkan iklan pengambilan kakitangan awam bukan Melayu bagi mengatasi masalah kekurangan kakitangan awam berbangsa Cina dan India.

“Dengan menyiarkan iklan jawatan kosong dalam semua akhbar pelbagai bahasa tentu sekali dapat menarik lebih ramai kaum bukan Melayu, khususnya yang berkelayakan dan yang berminat berkhidmat dalam sektor awam,” katanya.

Heng turut berharap kerajaan dapat menubuhkan sebuah jawatankuasa pemilihan kakitangan awam yang dianggotai oleh pelbagai kaum dalam usaha memastikan pengambilan kakitangan awam ini lebih telus dan adil kepada semua kaum.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman menjelaskan, hasil kajian Cent-GPS itu seharusnya membuka mata semua pihak bahawa diskriminasi yang berlaku dalam sektor swasta adalah serius.

Beliau seterusnya mencadangkan kepada kerajaan supaya menggubal undang-undang bagi menghapuskan diskriminasi kaum dan agama dalam sektor pekerjaan.