Rais dianugerah Ijazah Kehormat Kedoktoran Seni Kreatif Aswara

Rais - Foto Bernama
Rais - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dianugerahkan ljazah Kehormat Kedoktoran Seni Kreatif (Perancang Seni Budaya) sempena Istiadat Konvokesyen Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) Ke-16 pada Ahad.

Penganugerahan tersebut merupakan penghargaan dan penghormatan tinggi buat Rais atas jasa dan pengorbanan beliau merancang pembangunan dan pengembangan seni budaya tanah air.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata, penganugerahan itu membuktikan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Aswara amat menghormati tokoh-tokoh dalam bidang seni, budaya dan warisan.

"Jasa Tan Sri Dr Rais Yatim dalam seni budaya tanah air amatlah besar. Bukan sahaja ketika menjadi menteri yang menguruskan hal ehwal kebudayaan, malah, sebagai individu yang sangat mengambil berat terhadap perancangan dan perkembangan seni budaya.

"Selama lebih 50 tahun beliau telah mencorakkan rupa dan jiwa dalam bidang seni, budaya dan warisan negara kita," katanya sempena Istiadat Konvokesyen Aswara yang berlangsung di Istana Budaya pada Ahad.

Salah seorang daripada 547 graduan tahun 2020 dan 2021 yang telah berjaya menamatkan pengajian dalam pelbagai peringkat pengajian diraikan dalam Istiadat Konvokesyen Aswara dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Salah seorang daripada 547 graduan tahun 2020 dan 2021 yang telah berjaya menamatkan pengajian dalam pelbagai peringkat pengajian diraikan dalam Istiadat Konvokesyen Aswara dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Dr Noor Zari Hamat, yang juga Pengerusi Aswara ketika menyempurnakan Istiadat Konvokesyen berkenaan.

Dalam majlis sama, tokoh seniman negara, Md Yatim Talib (Ahmad Yatim) turut menerima pengiktirafan apabila dianugerahkan ljazah Kehormat Sarjana Seni Kreatif (Seni Lakon).

Artikel Berkaitan:

Nancy berkata, jasa Ahmad Yatim amat besar dalam bidang seni lakon dan lakonnya di pentas dan filem sangat berkesan dan memperlihatkan mutu kesenimanan yang tinggi.

"Di samping itu, beliau juga telah menterjemahkan beberapa buah drama besar dunia, ke dalam Bahasa Melayu, serta membimbing pelakon-pelakon muda yang kemudian mencipta nama, dalam bidang drama pentas dan filem di negara kita," katanya.

Pada masa sama, menurut Nancy buat pertama kalinya, istiadat konvokesyen Aswara memperkenalkan Anugerah Khas Adiguru.

Katanya, seramai sembilan tokoh menerima anugerah tersebut sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan mereka dalam bidang seni, budaya dan warisan tanah air.

"Adiguru adalah merupakan seorang guru yang utama dalam bidangnya, serta tinggi ilmu pengetahuannya sebagaimana dalam etimologi Sanskrit, yang mana, 'adi' membawa maksud 'yang pertama' atau 'yang utama' atau 'yang tertinggi'," katanya.

Seramai 547 graduan tahun 2020 dan 2021 yang telah berjaya menamatkan pengajian dalam pelbagai peringkat pengajian diraikan dalam Istiadat Konvokesyen Aswara dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Enam graduan menerima ljazah Kedoktoran Seni Kreatif dan Ijazah Sarjana Seni Kreatif, 231 graduan ljazah Sarjana Muda dengan Kepujian, manakala 310 graduan Diploma keseluruhannya termasuk 65 adalah anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mengikuti kursus Diploma Seni Muzik.

INFO

Penerima Anugerah Khas Adiguru Aswara:

Abdul Khalil Hassan

Abd Wahab Othman

Md Yatim Talib

Che Mat Jusoh

Che Mohd Nasir Yusof

Fatimah Abdullah

Juhari Said

Mohamed Tharuwat Ismail Bakti, dan

Nik Mustapha Nik Mohd Salleh