Guna logo Warisan: Muda putuskan selepas lalui proses mahkamah

Syed Saddiq pada sidang akhbar ketika hadir pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Parti Warisan 2020 di Dewan Hakka, Kota Kinabalu.
Syed Saddiq pada sidang akhbar ketika hadir pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Parti Warisan 2020 di Dewan Hakka, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Keputusan untuk menggunakan logo Parti Warisan (Warisan) hanya akan diputuskan selepas Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) melalui proses di mahkamah dalam usaha mendaftarkannya sebagai parti politik.

Pengasasnya, Syed Saddiq Abdul Rahman berkata, buat masa ini mereka hanya bekerjasama dengan Warisan sementara Muda sedang melalui proses di mahkamah.

"Sekarang kita berkolaborasi dengan Warisan dan kita (Muda) sedang cuba melalui proses mahkamah, kita tidak dapat putuskan kerana pendengaran semula pada minggu depan (14 Disember). Jadi kita berharap ia akan mendapat kelulusan daripada mahkamah.

"Saya rasa, yang penting seperti yang dikatakan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, kita ingin menubuhkan satu gagasan yang berprinsip, bermaruah mewakili rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.

"Muda sudah agak rapat dengan beliau sekian lama, saya sendiri semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah berkempen ke banyak kawasan bagi memastikan bahawa Warisan menang," katanya kepada pemberita ketika hadir pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Parti Warisan 2020 di Dewan Hakka, di sini, pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Muda bersedia untuk menggunakan logo Warisan bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Mengulas lanjut, ditanya berhubung kehadiran beliau pada majlis itu, Syed Saddiq berkata, ia adalah sebagai sokongan beliau terhadap Warisan.

"Memang sebagai sokongan. Saya sudah kenal Datuk Seri Mohd Shafie sejak sekian lama apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ditubuhkan awal pun saya banyak meminta nasihat daripada beliau.

Artikel Berkaitan:

"Beliau membuat pendirian agak baik, berprinsip, bermaruah untuk menubuhkan Warisan dan saya tidak lupakan detik tersebut apabila ramai agak mustahil untuk menembus kubu kuat UMNO di Sabah tetapi dengan gelombang yang dibawa Datuk Seri Mohd Shafie ditambah pula anak muda yang bersama dengannya, akhirnya kubu kuat itu berjaya ditembusi," katanya.

Sehubungan itu, Syed Saddiq berkata, beliau akan berdiri teguh bersama Presiden Warisan bagi memastikan negeri ini berlaku perubahan yang besar.

"Bukan hanya di Sabah tetapi di seluruh Malaysia," katanya.