Gedong akan dibangunkan sebagai Bandar Satelit: Abang Johari

Abang Johari berucap pada Majlis Pelancaran Gedong Sebagai Daerah di sini, hari ini. Foto Bernama
Abang Johari berucap pada Majlis Pelancaran Gedong Sebagai Daerah di sini, hari ini. Foto Bernama
A
A
A

GEDONG - [DIKEMASKINI] Gedong kini secara rasmi adalah sebuah daerah di Sarawak, satu pengiktirafan yang akan meningkatkan corak hidup masyarakat, dan seterusnya menjadi bandar satelit bagi kawasan Samarahan.

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sebagai daerah baharu, Gedong akan mempunyai infrastruktur dan struktur pentadbiran yang lebih tersusun dan terperinci.

"Kita akan merancang Gedong sebagai bandar satelit, dengan kawasan kampung serta rumah panjang (sekitarnya) akan menikmati kemajuan pertanian moden.

"Gedong akan mempunyai satu pendekatan pembangunan melalui Integrated Regional Samarahan Development Agency (IRSDA), satu agensi merancang dan seterusnya membangunkan daerah di kawasan Samarahan termasuk Gedong," katanya ketika melancarkan Gedong sebagai daerah baharu di Sarawak di sini pada Ahad.

Abang Johari turut mengumumkan pembentukan lima daerah baharu termasuk Gedong iaitu Siburan di Serian, Sebuyau di Samarahan, Lingga dan Pantu di Sri Aman, serta satu daerah kecil Balai Ringin di Serian.

Beliau berkata, Gedong akan menjadi pusat penyelidikan yang berteraskan hasil biodiversiti kerana adanya institusi pendidikan tinggi berdekatan di Samarahan.

Katanya kawasan luar bandar akan diubah menjadi satu kawasan yang moden mempamerkan keindahan budaya rakyat Sarawak.

"Kerajaan memberikan tumpuan kepada pembangunan luar bandar melalui jalan yang kita bangunkan termasuk jalan pesisir; dan sektor ekonomi termasuk pertanian dan pelancongan yang ada khazanah di kawasan Gedong, Simunjan, dan sekitarnya," tambahnya

Artikel Berkaitan:

Pada majlis sama Abang Johari menyampaikan cek pampasan tanah bagi projek Jalan Lubok Teranggas ke Kampung Gedong serta projek naik taraf jalan di sekitar Simunjan bernilai RM5.35 juta.

Beliau turut menyampaikan lesen pendudukan sementara Skim Pembesaran Kampung Masjid Gedong Fasa II. - Bernama