AS tidak berhasrat hantar tentera ke Ukraine

Joe Biden - Foto AFP
Joe Biden - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Washington tidak pernah merancang untuk menghantar tentera ke Ukraine, tetapi memberi amaran akan bertindak jika berlaku sebarang pencerobohan, kata Presiden Joe Biden.

"Perkara itu tidak pernah dibincangkan," kata Biden kepada pemberita pada Sabtu.

Jika Rusia memutuskan untuk menyerang Ukraine, Amerika Syarikat (AS) akan meningkatkan kehadiran tenteranya dan Moscow perlu berdepan apa jua kesannya kelak dari segi imejnya di peringkat dunia serta ekonomi, lapor Sputnik

"Saya telah katakan dengan jelas kepada Presiden Putin... bahawa jika ambil sebarang tindakan di Ukraine, ekonominya akan musnah," kata Biden.

Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov, memberitahu saluran televisyen Greek ANT1 pada Sabtu Rusia tidak merancang untuk melakukan apa jua serangan serangan ke atas Ukraine.

Peskov turut mengkritik tindakan Turki menjual dronnya kepada Ukraine.

Presiden Vladimir Putin pada Selasa membuat panggilan telefon kepada Biden, membincangkan mengenai dakwaan tentera Rusia telah dikerahkan ke kawasan berhampiran sempadan Ukraine.

Sejak beberapa minggu lepas, Kiev dan beberapa negara Barat menuduh Moscow menempatkan tenteranya berhampiran sempadan dengan Ukraine.

Artikel Berkaitan:

Moscow, berulang kali menafikan tuduhan itu dan menyatakan Barat mahu menggunakannya sebagai alasan untuk menempatkan peralatan tentera NATO berhampiran sempadan Rusia.

Jabatan Negara AS pada Sabtu memaklumkan Penolong Setiausaha Biro Hal Ehwal Eropah dan Eurasia, Karen Donfried, akan melawat Moscow dan Kiev pada 13 hingga 15 Disember dan kemudian akan bertemu wakil Kesatuan Eropah (EU) di Brussels untuk membincangkan penyelesaian diplomatik berhubung situasi Ukraine. - Bernama