MOM rayu peruntukan persediaan tiga temasya 2022

Mohamad Norza
Mohamad Norza
A
A
A

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) memohon bantuan kerajaan untuk menyediakan peruntukan sewajarnya kepada majlis itu menjelang tiga acara utama pelbagai sukan pada tahun hadapan.

Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata temasya sukan itu ialah Sukan SEA di Hanoi, Vietnam; Sukan Komanwel di Birmingham, United Kingdom dan Sukan Asia di Hangzhou, China.

"Kami merayu kepada kerajaan agar memberikan sumber yang mencukupi dan jika ada kemungkinan memberikan insentif kepada sektor swasta untuk membantu kerajaan, kami pada dasarnya akan mengalu-alukannya,” katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat MOM ke-199 di Wisma OCM di sini pada Sabtu.

Mohamad Norza berkata, terdapat juga kemungkinan untuk mengecilkan saiz dari segi persiapan dan pembiayaan untuk atlet sekiranya kekurangan dana untuk pembangunan sukan negara.

Beliau berkata, persatuan sukan kebangsaan (NSA) bimbang atlet daripada Program Podium yang memberikan prospek pingat untuk sukan antarabangsa utama, akan terjejas jika kewangan memberikan masalah serius.

Terdahulu, mesyuarat Exco MOM ke-199 dihadiri oleh 50 ahlinya serta wakil daripada Majlis Sukan Negara (MSN), Kementerian Belia dan Sukan, Institut Sukan Negara, Kementerian Pendidikan, Pejabat Pesuruhjaya Sukan dan atlet kebangsaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: