Kena cari jalan selesai kes buli...

Selain daripada hukuman yang dikenakan terhadap pembuli, kaedah terbaik perlu difikirkan untuk mengawal kes buli ini daripada berlarutan. Foto 123RF
Selain daripada hukuman yang dikenakan terhadap pembuli, kaedah terbaik perlu difikirkan untuk mengawal kes buli ini daripada berlarutan. Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Tidak sampai dua bulan kes melibatkan enam penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dijatuhkan hukuman penjara 18 tahun atas pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat ke atas Pegawai Kadet Laut UPNM Zulfarhan Osman Zulkarnai, negara sekali lagi dikejutkan dengan kes buli, kali ini membabitkan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Perak.

Nampaknya hukuman penjara yang dikenakan itu tidak menakutkan suspek-suspek pembuli tersebut.

Justeru, timbul persoalan di sini adakah sistem undang-undang dan peranan institusi pendidikan itu sendiri masih belum berkesan untuk menangani kes buli di negara ini?

Pada Khamis, satu video memaparkan beberapa remaja yang dipercayai pelajar MRSM menumbuk dan menendang seorang pelajar lain secara beramai-ramai tular di media sosial.

Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 1 hingga 2 pagi pada Khamis, melibatkan tujuh suspek dan seorang mangsa yang kesemuanya berusia 13 tahun.

Susulan itu, polis memanggil kesemua pelajar terlibat dan pemilik akaun media sosial yang menularkan video berkenaan bagi memberi keterangan untuk membantu siasatan kes di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sehari kemudian, polis menahan enam pelajar bagi membantu siasatan dalam kes tersebut dan mereka digantung persekolahan serta merta selama dua minggu.

Pada masa sama, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) turut mencadangkan pelajar terbabit ditamatkan pengajian mereka di sekolah berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, JDM mengambil langkah awal dengan memanggil keseluruhan 10 pelajar tingkatan satu hingga tiga untuk siasatan lanjut.

Bagaimanapun perlu diteliti adalah hasil pemerhatian di media sosial, apabila ada segelintir individu berkongsi pengalaman masing-masing mengenai kes buli yang didakwa berlaku di institusi pendidikan mereka.

Ada juga antara mereka mendakwa perkara tersebut sudah lama berlaku, malah dikatakan menjadi satu budaya yang telah dinormalisasikan.

Justeru, selain daripada hukuman yang dikenakan terhadap pembuli, kerajaan harus memikirkan kaedah terbaik untuk mengawal kes buli ini daripada berlarutan.

Ada pihak berpendapat penguatkuasaan disiplin perlu dipertingkatkan terutama di semua sekolah berasrama bagi membendung perbuatan membuli dalam kalangan pelajar.

Ia berikutan perbuatan buli berbentuk ganas dan mendera fizikal mangsa dalam kalangan pelajar adalah sangat serius dan perlu ditangani oleh semua pihak.