X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 01 Julai 2022

Penjawat awam angkat sumpah laknat wajar dipertimbang

Wan Ahmad Fayhsal pada program Sinar Live bertajuk ‘Rasuah Vs Maruah’ yang bersiaran secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Sabtu.
A
A

SHAH ALAM - Angkat sumpah laknat dalam kalangan penjawat awam wajar dipertimbangkan dalam usaha mengelakkan golongan berkenaan terlibat dengan gejala rasuah.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, ia sekurang-kurangnya mempunyai asas untuk memagari tindak-tanduk penjawat awam supaya tidak terlibat dengan budaya terkutuk itu.

“Seingat saya, sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, parti saya (Perikatan Nasional) ada buat angkat sumpah akur janji yang bertujuan untuk menolak sebarang perkara yang boleh menimbulkan masalah integriti kepada calon dan parti.

“Jadi, kalau kita boleh teruskan perkara ini dalam penjawat awam sebagai sebahagian daripada rukun tanggungjawab, saya rasa ia satu perkara yang baik walaupun bukan ubat yang paling mujarab untuk kita merawat rasuah.

“Tetapi boleh jadikan syarat untuk mencegah perilaku yang boleh menimbulkan masalah rasuah ini,” katanya pada program Sinar Live bertajuk ‘Rasuah Vs Maruah’ yang bersiaran secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, terdapat beberapa pendekatan untuk memerangi rasuah dalam negara, antaranya meneruskan semak dan imbang selain meningkatkan usaha semua pihak untuk menghantar mesej yang jelas berhubung hukuman yang bakal dikenakan jika terlibat rasuah.

“Bila mana kes-kes yang dilaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan media, bagi saya itu merupakan satu perkara yang sangat bagus. Itu menakutkan dan mengingatkan semua termasuk ahli politik.

“Tiada siapa yang boleh terlepas daripada undang-undang yang betul. Itu saya rasa pendekatan yang perlu diteruskan walaupun tidak menjamin keseluruhan kita mampu memeranginya,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, apa yang lebih penting ketika ini adalah menyelamatkan generasi muda terutama mereka di peringkat sekolah dan universiti.

Menurut beliau, generasi tersebut perlu dididik sebelum mereka bergelumang dengan ujian dan cabaran berbentuk rasuah.

“Pertama, mereka perlu dididik dari segi aspek kerohanian bahawa dalam ajaran Islam itu sendiri sudah jelas mengajar tentang hukum halal haram dalam kita mencari rezeki dan nafkah.

“Kedua, aspek sosiologi rasuah itu sendiri. Kesan kepada diri, keluarga, masyarakat dan juga negara. Kita mungkin tak nampak kecuali kita bagi penerangan. Kalau perkara ini kita dapat terangkan, saya yakin budaya politik kita akan berubah,” ujar Wan Ahmad Fayhsal.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!