Sila log masuk terlebih dahulu.

PAU jadi medan tentukan hala tuju Muafakat Nasional

Mahdzir ketika berucap di Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Padang Terap di Pusat Komuniti Padang Kerasak, Naka di sini pada Sabtu.
Mahdzir ketika berucap di Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Padang Terap di Pusat Komuniti Padang Kerasak, Naka di sini pada Sabtu.
A
A
A

PADANG TERAP - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berpendapat kemungkinan keputusan kerjasama UMNO dan Pas dalam Muafakat Nasional (MN) akan diputuskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang dijangka pada Januari depan.

Menurutnya, walau bagaimanapun, adalah lebih baik sekiranya kedua-dua kepimpinan tertinggi parti dapat mencapai keputusan bersama mengenai hala tuju MN tanpa perlu diputuskan perwakilan UMNO pada perhimpunan itu.

"Keputusan mengenai masa depan MN ini pun kena dibawa kepada kepimpinan parti masing-masing. Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah sebut yang mereka bergantung kepada salah satu dewan tertinggi dalam Pas untuk menentukan kerjasama terbabit.

" Kalau UMNO ada usul di PAU, kita akan putuskan sama ada akan dibahas atau tidak usul itu.

"Lalau ada penyelesaian antara kepimpinan kedua-dua parti dalam untuk kolabarasi, perbincangan atau apa jua penyelesaian, mungkin tak perlu dibawa ke PAU," katanya ketika ditemui di Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Padang Terap di Pusat Komuniti Padang Kerasak, Naka di sini pada Sabtu.

Menurutnya, beliau juga tiada halangan sekiranya PAU pada waktu memutuskan UMNO kekal bersama Pas dalam MN.

"Biarlah masa menentukan, jadi sekiranya pada waktu itu keputusannya kekal UMNO dan Pas dalam satu ikatan yang namanya Muafakat (Nasional), kita tidak ada halangan sebab itulah keputusannya.

"Lagipun di peringkat umbi hubungan sebenarnya baik antara UMNO dan Pas yang mana ada ukhwah dan perpaduan demi bangsa dan agama," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam ucapan perasmian, Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, persiapan awal dan rapi perlu dilakukan akar umbi serta kepimpinan UMNO di peringkat cawangan dan bahagian bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dijangka diadakan sekitar bulan Jun atau Julai tahun hadapan.

Media sebelum ini melaporkan Pas akan menolak Muafakat Nasional (MN) sekiranya UMNO enggan menerima Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan badan bukan kerajaan (NGO) yang lain bagi menyertai gagasan itu.