Pencapaian kerajaan boleh diteliti menerusi program 100 Hari AKM

Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika hadir pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Bera di Dewan Konvensyen Daerah Bera hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika hadir pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Bera di Dewan Konvensyen Daerah Bera hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pencapaian dan kejayaan kesemua kementerian dan kerajaan dapat diteliti oleh rakyat menerusi program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang berlangsung selama empat hari sejak Khamis sehingga Ahad.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, rakyat perlu mengambil peluang itu dengan melihat sendiri program yang disediakan termasuk program Bantuan Aspirasi Kerajaan, pameran peluang kerjaya, kaunter perkhidmatan kerajaan serta pelbagai program yang dibentuk khusus untuk Keluarga Malaysia.

“Saya memahami bahawa rakyat meletakkan harapan yang tinggi terhadap kerajaan ini.

“Pada 24 September, saya telah memuktamadkan Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari yang diukur berdasarkan 50 peratus perkhidmatan teras kementerian, penilaian prestasi menteri (25 peratus) dan persepsi awam (25 peratus) terhadap menteri dan kementerian,” katanya di akaun Facebook rasminya pada Sabtu.

Ismail Sabri turut berkata, sebagai sebuah keluarga, adalah menjadi tanggungjawab bersama semua pihak untuk tetap bermuafakat dalam apa jua keadaan.

“Ibarat kata pujangga ‘banyak perkara boleh mengubah kita tetapi kita bermula dan berakhir dengan institusi keluarga’,” katanya.

Pada Khamis, Perdana Menteri ketika merasmikan program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini dilaporkan berkata, prestasi keseluruhan bagi tempoh 100 hari pentadbiran jemaah menteri mencapai sekitar 90 peratus kejayaan, namun ia bukan alasan untuk mendabik dada.

Sebaliknya, beliau berkata, ia menyuntik kesungguhan dan iltizam barisan kabinet untuk terus bekerja bersama rakyat.

Artikel Berkaitan:

Ismail Sabri berkata, pencapaian 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia juga tidak akan terhenti setakat itu, malah akan berterusan melalui pelan jangka sederhana bagi tempoh enam bulan dan sasaran jangka panjang. - Bernama