X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

SOP sambutan Thaipusam diumumkan dalam masa terdekat

M Saravanan
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Prosedur operasi standard (SOP) Hari Thaipusam termasuk bagi perarakan kavadi dan pedati, akan diumumkan oleh Menteri Perpaduan Negara Halimah Mohamed Sadique dalam tempoh terdekat.

“Semalam (Jumaat), Halimah telah mengadakan perjumpaan dengan wakil pemimpin agama Hindu dan kuil selepas Mesyuarat Jemaah Menteri, dan pelbagai perkara telah dibincangkan,” kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M.Saravanan kepada pemberita, selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda, Wanita, Putera dan Puteri MIC di Wisma MCA di sini, pada Sabtu.

Sementara itu, Saravanan berkata, pada Jumaat beliau sendiri telah bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang pada dasarnya positif tentang perarakan tersebut.

Saravanan yang juga Timbalan Presiden MIC berkata, satu mesyuarat akan diadakan pada Selasa depan, bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan dengan sambutan perayaan itu.

Pada 7 Disember, Halimah dalam Dewan Rakyat memberitahu semua perarakan perayaan, termasuk perarakan kavadi bagi Thaipusam dan chingay sempena Tahun Baharu Cina, tidak dibenarkan berikutan negara sedang berdepan jangkitan varian baharu Covid-19, Omicron ketika ini.

ARTIKEL BERKAITAN:Perarakan kavadi, Chingay tidak dibenarkan: Halimah

Namun, selepas menerima kritikan pelbagai pihak, Kementerian Perpaduan telah membuat kenyataan bahawa SOP Covid-19 untuk sambutan Thaipusam belum dimuktamadkan.

Dalam perkembangan lain, ketika berucap pada mesyuarat perwakilan sayap MIC itu, Saravanan meminta perwakilan agar mengubah cara pemikiran dalam mengemudi parti seiring dengan persediaan menghadapi Revolusi Perindustrian (IR) 4.0.

Beliau berkata MIC tidak boleh lagi dilihat sebagai parti yang memberikan sumbangan percuma, malah ia perlu menjadi parti yang mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada kaum India.

“Dalam 10 tahun akan datang, dunia berdepan dengan IR4.0 di mana banyak pekerjaan akan hilang. Oleh itu, kita perlu bersedia menghadapi perubahan dan cabaran tersebut,” katanya.

Beliau turut meminta masyarakat India di negara ini agar turut mengubah cara pemikiran, supaya terus berjaya dan mengharungi cabaran IR4.0, sekali gus tidak hanya mempersalahkan parti politik.

Seramai 1,500 perwakilan daripada sayap Pemuda, Wanita, Putera dan Puteri telah menghadiri Mesyuarat Perwakilan Sayap berkenaan sementara Perhimpunan Agung Tahunan parti itu akan diadakan esok (Ahad). - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!