Tiga kali tapak sampah terbakar

Gambar yang sempat dirakam penduduk menunjukkan keadaan asap tebal yang menyelubungi asrama SMK Bandar Tenggara 2 akibat pembakaran terbuka di tapak pelupusan sampah berhampiran.
A
A

KOTA TINGGI - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tenggara 2 di sini diberi pelepasan cuti selama tiga hari bermula semalam berikutan pencemaran udara kesan daripada pembakaran terbuka di tapak pelupusan sampah berhampiran.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Shahrizan Abdul Rahim berkata, kebakaran tersebut sudah tiga kali berlaku sejak awal tahun ini.

Namun katanya, kejadian kali ketiga bermula 7 Mac lalu menyebabkan pelajar sekolah berkenaan yang terletak kira-kira 300 meter dari kawasan kebakaran terkesan.

"Seramai 500 pelajar di mana 300 daripadanya menetap di asrama diberikan pelepasan cuti sehingga Khamis ini. Pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kulai mengambil keputusan selepas mengambil kira faktor kesihatan pelajar ketika mengadakan lawatan bersama pihak-pihak berkenaan kelmarin.

"Kebakaran kali ini dilihat agak besar dan turut melibatkan barang kilang sehingga mengeluarkan bau hangit bakar bahan plastik.

"Pelajar dan guru terpaksa menghidu asap kebakaran menyebabkan keadaan kesihatan pelajar merosot. Ada yang batuk, gatal-gatal ruam, selesema, demam dan juga sesak nafas serta terpaksa mendapatkan rawatan," katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, apa diharapkan kejadian kali ketiga itu tidak akan berulang lagi di mana ia boleh diatasi dengan melakukan tambak tanah di kawasan berkenaan.

Jelasnya, ibu bapa juga diharap tidak bimbang dan tidak terus mempersalahkan pihak sekolah dengan mengatakan pihak sekolah tidak mengambil berat keadaan kesihatan pelajar.

"Tindakan untuk memberi cuti kepada pelajar ini yang kita ajukan bukan boleh dibuat serta-merta, tetapi melibatkan semua pihak dan mengambil kira pelbagai perkara.

"Pihak sekolah dan pihak atasan sangat peka dengan apa yang berlaku dan turut sama bimbang kesihatan pelajar.

"Insya-ALLAH pihak pejabat daerah sudah memaklumkan akan mengambil tindakan, mereka akan cuba menyelesaikan masalah ini jadi ibu bapa tidak perlu risau," katanya.