Pas harus sedar siapa lebih dominan: Nur Jazlan

Nur Jazlan pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyerahan Surat Tawaran Projek Perumahan Rakyat Perling di Johor Bahru pada Sabtu.
Nur Jazlan pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyerahan Surat Tawaran Projek Perumahan Rakyat Perling di Johor Bahru pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Status Pas yang dilihat hanya seperti bayang-bayang disifatkan tidak layak untuk menentukan hala tuju UMNO apatah lagi mendesak parti itu untuk bergerak bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, Pas juga seharusnya lebih relevan dalam melihat sendiri mana parti yang lebih dominan berbanding hanya mahu meminta pihak lain menurut permintaan mereka.

“Jadi jika mereka mahu bersama kita (UMNO), sepatutnya mereka ikut cara kita, mereka juga perlu akur dan melihat keputusan kita (tidak mahu bersama Bersatu),” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Surat Tawaran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Perling, di sini pada Sabtu.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menerusi laman Facebooknya sebelum ini berkata, UMNO dan Pas tidak akan lengkap serta mencapai tujuan asal perpaduan bangsa dan agama tanpa kerjasama Bersatu.

Ahli Parlimen Marang itu juga berkata, Melayu dan Islam bukan sahaja melibatkan parti UMNO dan Pas, malahan Bersatu yang merupakan parti besar dalam kancah politik negara.

Nur Jazlan berkata, agenda perpaduan bangsa dan kebersamaan sebagai Islam seringkali diratib Pas juga harus dihentikan kerana perkara itu hanya sebagai platform parti berkenaan untuk mendapatkan sokongan.

“Jika mereka tidak mahu terima keputusan kita, kita putuskan sahaja hubungan. Sebelum ini pun kita tahu yang Muafakat Nasional ini bukan gagasan politik yang rasmi, ia ditubuhkan untuk menyatukan dua parti.

“Kita tiada masalah untuk perkara ini, saya di peringkat UMNO Pulai juga akan mengusulkan untuk kita tidak lagi bersama Pas dan jika perlu bubarkan sahaja Muafakat Nasional,” katanya.

Artikel Berkaitan: