Terharu Bank Rakyat bantu kos baiki rumah terbakar

Syed Abdul (depan kanan) menyampaikan sumbangan kepada Arbain (tiga dari kiri) sambil diperhatikan Noh (tiga dari kanan) pada Majlis Penyerahan Sumbangan kepada mangsa kebakaran di Parit 3 Ban 1 Sungai Burong di sini pada Jumaat.
Syed Abdul (depan kanan) menyampaikan sumbangan kepada Arbain (tiga dari kiri) sambil diperhatikan Noh (tiga dari kanan) pada Majlis Penyerahan Sumbangan kepada mangsa kebakaran di Parit 3 Ban 1 Sungai Burong di sini pada Jumaat.
A
A
A

TANJONG KARANG - Sebuah keluarga terharu dan bersyukur berikutan Bank Rakyat memberi sumbangan untuk kerja membaik pulih kediaman mereka yang musnah dalam kebakaran pada 11 September lalu.

Arbain Ahmad, 54, berkata, sumbangan itu sudah tentu membantu mereka sekeluarga apabila terpaksa menampung kos yang tinggi membaik pulih rumah dan kerosakan harta benda.

"Terima kasih kepada semua pihak antaranya Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar dan Bank Rakyat yang sudi hulur bantuan," katanya ketika ditemui Sinar Harian sempena Majlis Penyerahan Sumbangan kepada mangsa kebakaran di Parit 3 Ban 1 Sungai Burong di sini, pada Jumaat.

Arbain berkata, rumahnya ketika ini sedang dibaik pulih dan dijangka siap sepenuhnya pada Februari tahun depan.

"Mungkin dua atau tiga bulan lagi rumah ini boleh diduduki sepenuhnya kerana ada beberapa kerja pembaikan belum siap termasuk pemasangan pendawaian elektrik," katanya.

Menurut Arbain, kebakaran rumah itu meninggalkan kesan mendalam apabila isterinya, Safiah Abd Wahab, 52, ketika ini masih koma di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

Katanya, akibat kejadian itu Safiah melecur pada bahagian kedua-dua kaki dan tangan, belakang badan, pinggang serta kepala.

"Isteri saya ketika ini masih belum sedarkan diri dan bergantung sepenuhnya kepada mesin ventilator yang menjadi alat sokongan bantuan pernafasan untuk mengawal pengaliran oksigen dengan baik.

Artikel Berkaitan:

"Kami memerlukan doa daripada semua agar isteri saya kembali sembuh dan sihat seperti sediakala serta pulang ke pangkuan keluarga," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan berkata, pihaknya menyumbang kos baik pulih rumah Arbain bernilai RM34, 980.

Kata beliau, sumbangan yang diberikan itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan berkongsi semula keuntungan kepada masyarakat yang memerlukan serta tanda keprihatinan Bank Rakyat dalam membantu komuniti yang terjejas akibat sesuatu musibah atau bencana alam.