Jabatan Pendidikan Melaka pantau isu keciciran murid sekolah

Rais Yasin
Rais Yasin
A
A
A

MELAKA - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka sedang memantau isu keciciran murid sekolah di negeri itu dalam tempoh penularan pandemik Covid-19 walaupun kadar keciciran di seluruh negara dalam tempoh dua tahun hingga Julai lepas dilaporkan lebih rendah berbanding tahun 2018.

Exco Pendidikan dan Teknologi negeri, Datuk Rais Yasin berkata, langkah itu bagi memastikan murid terlibat dapat dibantu dalam pelbagai aspek termasuk bantuan persekolahan agar mereka dapat memulakan sesi persekolahan baharu tahun hadapan.

"Dalam tempoh penularan Covid-19, ramai ibu bapa terjejas, hilang pekerjaan dan secara tidak langsung memberi kesan kepada ekonomi keluarga namun kesusahan dihadapi bukan alasan untuk memberhentikan anak mereka daripada bersekolah.

"Justeru, saya sedang memantau perkembangan isu ini dan jika berlaku, saya berharap aduan segera dapat dilakukan pihak tertentu terus kepada saya, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), JPN atau pihak sekolah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dataran As Solihin dan Majlis Maulid Akbar di Paya Rumput di sini pada malam Jumaat.

Isnin lepas, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon dilaporkan berkata, kadar keciciran murid sekolah ketika pandemik Covid-19 bagi tempoh dua tahun hingga Julai lepas lebih rendah, berbanding keciciran pada tahun 2018.

Hang Soon berkata, berdasarkan data Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), seramai 34,074 murid berhenti sekolah pada tahun 2018, berbanding 21,316 murid bagi tempoh Mac 2020 hingga Julai tahun ini.

Mengulas lanjut, Rais berkata, kerajaan negeri menyediakan pelbagai bantuan dan peruntukan untuk membantu murid dan ibu bapa yang terkesan akibat penularan Covid-19 bagi meringankan beban dihadapi mereka.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Bajet 2022 negeri Melaka yang akan dibentangkan pada Persidangan Pertama (Khas) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 hujung pada bulan ini diharap memberi fokus pada pembangunan modal insan murid agar tidak berlaku isu keciciran disebabkan faktor lain, antaranya murid kurang minat belajar.

Artikel Berkaitan:

"Aspek pembangunan murid adalah amat penting selain daripada pembangunan struktur sekolah atau sebagainya dan saya berharap aspek ini akan diberi keutamaan," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput sebelum itu berkata, kira-kira RM2.5 juta diperlukan bagi menaik taraf Masjid As Solihin di Paya Rumput di sini.

Katanya, sehingga kini, pihak pengurusan masjid berkenaan telah berjaya mengutip dana berjumlah RM700,000 daripada pelbagai pihak bagi melaksanakan projek tersebut dan orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan berkenaan boleh berhubung dengan pengurusan masjid. - Bernama