Polis Perak kutip RM3.5 juta saman trafik

Mior Faridalathrash menyaksikan penyerahan tongkat kuasa jawatan Ketua Polis Daerah Kampar antara Hasron Nazri (kiri) dengan Mohamad Nazri.
Mior Faridalathrash menyaksikan penyerahan tongkat kuasa jawatan Ketua Polis Daerah Kampar antara Hasron Nazri (kiri) dengan Mohamad Nazri.
A
A
A

IPOH - Polis Kontinjen Perak merekodkan kutipan kompaun berjumlah RM3.5 juta sempena tawaran diskaun saman trafik yang bermula 1 Disember lepas.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, jumlah itu adalah hasil sambutan orang ramai untuk pembayaran saman dengan pengurangan 50 dan 80 peratus.

Menurutnya, kempen bayaran saman dengan diskaun 50 peratus yang dilaksanakan Polis Perak sejak minggu lalu telah mengutip RM1.89 juta.

Katanya, bagi tawaran diskaun 80 peratus sempena program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang baru bermula pada Khamis pula, sebanyak RM1.62 juta telah berjaya dikutip.

"Polis Perak telahpun mulakan kempen diskaun 50 peratus sejak 1 Disember dan kita akan laksanakan sehingga 30 Disember ini.

"Kerajaan juga telah bermurah hati apabila mengumumkan diskaun kompaun sama sehingga 80 peratus selama empat hari bermula 9 Disember.

"Jadi kita sarankan masyarakat ambil peluang dan tempoh yang ada ini untuk segera lunaskan kompaun-kompaun tertunggak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah Kampar dan Pengerusi PERKEP Daerah Kampar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar di sini pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak mengadakan pengurangan saman trafik 50 peratus dengan bayaran boleh dibuat di semua kaunter saman trafik PDRM Perak yang dibuka pada hari bekerja sahaja sehingga 30 Disember ini dari jam 9 pagi hingga 4 petang.

Saman yang dikecualikan daripada tawaran itu ialah saman kemalangan tahun 2021, saman tidak boleh kompaun (NC), berstatus bicara mahkamah, berkaitan kenderaan motolori dan kesalahan pengubahsuaian ekzos kenderaan.

Selain itu, empat kesalahan tahun 2021 lain adalah memotong secara berbahaya atau potong ‘Q’, menggunakan lorong kecemasan, melanggar lampu isyarat merah dan memotong di garisan berkembar.

Pada majlis itu, Superintendan Mohamad Nazri Daud dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kampar yang baharu menggantikan Superintendan Hasron Nazri Hashim yang bertukar ke Seksyen Pelaksanaan dan Pemantauan Urusetia Ketua Polis Negara (Penyelidikan dan Pembangunan) Bukit Aman.

Mohamad Nazri, 47, sebelum ini bertugas di Bahagian Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (D3) (MAPO/Hubungan Antarabangsa) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Turut diadakan majlis serah terima tugas jawatan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kampar antara Norazlina Ya'acob dengan Tengku Azlawati Tengku Muda dengan disaksikan Pengerusi PERKEP negeri, Datin Nor Qhadhijah Abdul Wahab.