Harap diskaun saman JPJ, PDRM dilanjutkan

Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya memperoleh bayaran saman berjumlah kira-kira RM13.6 juta dalam tempoh 24 jam sepanjang pelaksanaan tawaran diskaun saman sempena program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia sejak Khamis.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya memperoleh bayaran saman berjumlah kira-kira RM13.6 juta dalam tempoh 24 jam sepanjang pelaksanaan tawaran diskaun saman sempena program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia sejak Khamis.
A
A
A

MEDIA sosial agak meriah sejak beberapa hari dengan pelbagai hantaran dan gambar berkaitan saman setelah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menawarkan diskaun sehingga 80 peratus untuk saman yang masih belum dibayar.

Tawaran itu adalah bersempena dengan program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia selama empat hari, bermula 9 hingga 12 Disember.

Selain boleh dibayar secara fizikal di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan kaunter trafik seluruh negara, orang ramai juga boleh membuat pembayaran dalam talian PDRM dan JPJ, iaitu melalui MyBayar Saman dan MySikap.

Memandangkan diskaun yang cukup besar, sudah tentu orang ramai mengambil peluang ini untuk membayar saman, apatah lagi yang mempunyai saman tertunggak sejak bertahun-tahun.

Buktinya, PDRM sendiri berjaya memperoleh bayaran saman berjumlah kira-kira RM13.6 juta dalam tempoh 24 jam sepanjang pelaksanaan tawaran diskaun saman itu sejak Khamis.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, jumlah tersebut melibatkan jumlah pembayaran saman sebanyak 287,500 di semua saluran termasuk di KLCC dan kaunter trafik seluruh negara.

Apa yang mengejutkan, pendedahan Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf yang memberitahu salah seorang individu yang tampil membayar saman adalah individu yang mempunyai 97 saman, dengan nilai kompaun RM3,990.

Namun, disebalik keghairahan rakyat negara ini ingin membayar saman, timbul pula rungutan kesukaran untuk membayar saman kerana tempohnya yang begitu singkat dan kaunter trafik di seluruh negara juga dikatakan turut diserbu.

Artikel Berkaitan:

Lebih mengecewakan, cubaan mereka untuk menjelaskan saman secara dalam talian melalui MyBayar Saman dan MySikap juga tidak berjaya kerana sukar diakses.

Maka, tidak hairanlah kaunter pembayaran saman yang dibuka sempena Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di KLCC terpaksa ditutup pada petang Jumaat bagi mengelakkan kesesakan orang ramai.

Menyedari situasi itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut mencadangkan agar tawaran diskaun 80 peratus bayaran saman trafik itu dilanjutkan.

Beliau menegaskan, lanjutan tempoh tersebut perlu dibuat demi berlaku adil dan mencapai objektif mengurangkan beban rakyat semasa pandemik Covid-19.

Tentunya cadangan itu amat dipersetujui rakyat, khususnya yang masih belum berjaya membayar saman trafik. Apatah lagi mengenangkan risiko terpaksa bersesak di kaunter trafik, rakyat tentunya menantikan tawaran itu dilanjutkan.