Skuad Waja cegah keganasan terhadap wanita

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyasarkan 100,000 sukarelawan menyertai Skuad Waja atau wanita antijenayah menjelang akhir tahun ini.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyasarkan 100,000 sukarelawan menyertai Skuad Waja atau wanita antijenayah menjelang akhir tahun ini.
A
A
A

Mendekati komuniti dengan perbanyakkan aktiviti turun padang dan kerjasama dengan NGO

SHAH ALAM - Skuad Wanita Anti Jenayah (Skuad Waja) merupakan program meningkatkan kesedaran untuk mengambil tindakan bagi menghentikan keganasan terhadap wanita.

Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Dr Zurina Abdul Hamid berkata, sejak ditubuhkan pada 17 Oktober lalu, mereka telah bergerak mendekati komuniti dengan memperbanyakkan aktiviti turun padang dan juga bekerjasama dengan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, Skuad Waja tidak bersifat menunggu kedatangan komuniti, sebaliknya akan mendekati mereka melalui aktiviti outreach.

Mengulas lanjut, Zurina berkata, menurut statistik polis, sehingga September 2021 jumlah kes gangguan seksual di negara ini telah mencatatkan peningkatan iaitu sebanyak 2,445 berbanding hanya 2,262 kes dalam tempoh yang sama pada tahun 2020.

Tambah Zurina, Skuad Waja akan membantu mangsa dengan menyalurkan aduan dan permasalahan kepada jabatan dan agensi yang berkaitan sekiranya mangsa memerlukan bantuan dari segi perlindungan.

Beliau berkata, Talian Kasih di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah merekodkan sebanyak 875 kes gangguan seksual sehingga 24 Oktober lalu.

“Perubahan norma baharu kehidupan yang membataskan pergerakan serta aktiviti sosial dalam kalangan masyarakat memberi impak terhadap emosi dan kesihatan mental seseorang. Oleh itu, peranan Skuad Waja amat diperlukan.

“Justeru, usaha dan inisiatif dari pelbagai pihak harus dilibatkan dan penubuhan Skuad Waja merupakan langkah yang sangat bertepatan dan relevan dalam meningkatkan kesedaran kepada masyarakat terutamanya untuk menghentikan keganasan dan mendapatkan bantuan profesional,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Selain usaha meningkatkan kesedaran menghentikan keganasan terhadap golongan hawa, Skuad Waja turut tidak ketinggalan memainkan peranan penting dengan melakukan kerja-kerja kemasyarakatan, terutama sekali kepada golongan yang memerlukan.

“Saya tertarik untuk berkongsi kisah dan tindakan yang telah diambil oleh ahli Skuad Waja. Antara kisah yang menarik perhatian saya ialah kisah ahli Skuad Waja Pulau Pinang yang terserempak dengan seorang bapa yang sedang mencari dan mengorek sesuatu dalam timbunan sampah.

“Setelah didekati dan ditemubual, bapa ini mengatakan dia mencari sesuatu untuk dijual bagi mendapatkan wang membeli makanan kepada keluarganya.

“Terkesan dengan insiden ini, ahli Skuad Waja telah membantu bapa ini dengan menghubungi MyFutureJobs Perkeso. Alhamdulillah, kini bapa tersebut telah mendapat pekerjaan sebagai Operator di Boon Siew Groups Pulau Pinang dan mampu menyara keluarganya,” katanya.

Dalam pada itu, Zurina berkata, ahli Skuad Waja juga telah membantu seorang suri rumah yang menjaga suaminya yang menderita akibat pendarahan beku di otak dan lumpuh selama lebih dua tahun. Pada masa yang sama suri rumah itu perlu menyara tiga orang anak yang sedang menuntut di Institut Pengajian Tinggi (IPT).

“Ahli Skuad Waja itu telah membantu keluarga ini dengan menganjurkan kutipan derma kilat dan berjaya mengumpulkan sebanyak RM7,000 untuk membeli sebuah mesin oksigen yang lebih berkualiti untuk kegunaan suaminya.

“Tidak cukup dengan itu, ahli Skuad Waja ini juga memberi bantuan psikososial secara emosi dan kata-kata semangat kepada ahli keluarga ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, statistik hingga 24 November 2021 menunjukkan seramai 100,202 orang telah menjadi ahli Skuad Waja dan usaha melatih sedang giat dijalankan di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

“Untuk makluman semua, ahli Skuad Waja bukan sahaja terdiri daripada wanita, dan kita turut menggalakkan penyertaan dari kalangan lelaki.

“Daripada jumlah 100,202 ahli Skuad Waja, seramai 93,295 adalah wanita dan 6,907 adalah lelaki.

“Sesungguhnya penglibatan golongan lelaki dalam Skuad Waja amatlah digalakkan kerana ia merupakan gambaran kepada kita bahawa isu menangani keganasan terhadap wanita merupakan isu bersama,” jelasnya.

INFO

Subsidi Manfaat Kesihatan dan Keselamatan untuk wanita

- Keselamatan wanita

- Pemerkasaan Bahagian D11 PDRM (RM13 juta) dan Skuad WAJA (RM10 juta)

- Penambahan Pusat Sokongan Sosial Setempat bagi melindungi mangsa keganasan rumah tangga (RM4.5 juta)

- Penambahan Rumah Perlindungan Khas Wanita (RM10 juta)

- Program pemberian kit asas kebersihan diri kepada 130,000 remaja wanita B40 (RM10 juta)

- Program Pencegahan Kesihatan Wanita - Subsidi ujian mamogram dan ujian saringan kanser serviks (RM11.5 juta)

REAKSI WANITA:

Nurhazreen Mohd Nor
Nurhazreen Mohd Nor

"Bantuan kesihatan seperti subsidi mamogram dan kanser serviks untuk wanita serta kit asas kebersihan diri remaja menunjukkan kerajaan menitikberatkan soal kesihatan,” - Kaunselor Universiti Awam, Nurhazreen Mohd Nor, 45, Nilai, Negeri Sembilan.

Nurhidayah
Nurhidayah

"Peranan Skuad Waja penting kerana mampu perkasa komuniti melalui sokongan sosial dan bimbingan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang isu-isu jenayah keganasan terhadap wanita,” Penjawat Awam, Nurhidayah Bossley, 25, Tampin, Negeri Sembilan.

Nurul Khairiena
Nurul Khairiena

"Skuad Waja walaupun masih baharu tetapi sudah banyak turun padang menyantuni masyarakat khususnya wanita dan mereka bukan hanya terdiri daripada wanita tetapi lelaki juga yang bertanggungjawab melindungi kaum tersebut,” - Pelajar, Nurul Khairiena Khairul Azman, 24, Kuantan, Pahang.