Rifdean mara ke final Kejuaraan Muay Thai Dunia

Rifdean melangkah ke perlawanan akhir Kejohanan Muay Thai Dunia 2021 selepas lawannya dari Sri Lanka menarik diri. - Foto Bernama
Rifdean melangkah ke perlawanan akhir Kejohanan Muay Thai Dunia 2021 selepas lawannya dari Sri Lanka menarik diri. - Foto Bernama
A
A
A

ATLET Muay Thai Malaysia, Mohammad Rifdean Masdor menepati ramalan apabila melangkah ke perlawanan akhir Kejohanan Muay Thai Dunia 2021 di sini pada Jumaat.

Atlet berusia 19 tahun Program Podium Majlis Sukan Negara (MSN) itu layak ke final bagi kategori 48 kilogram (kg) selepas lawannya dari Sri Lanka menarik diri.

Anak kelahiran Kuching, Sarawak itu akan bertemu wakil Thailand Naruephon Chittra pada pertarungan yang diadakan di Stadium Nasional, di sini pada Sabtu.

Perlawanan pada Sabtu mengulangi pertembungan kedua-dua atlet itu pada pusingan akhir Kejohanan Muay Thai Dunia 2019 yang menyaksikan Mohamad Rifdean meraih perak apabila kalah tipis satu mata kepada lawannya itu.

Ketua Jurulatih Skuad Muay Thai Perak, Bernard Radin berkata, anak buahnya itu mempamerkan aksi cemerlang pada kejohanan kali ini walaupun hampir dua tahun tidak menyertai pertandingan berikutan pandemik Covid-19.

“Untuk pertembungan esok, kita perlu bekerja keras dengan strategi yang lebih baik,” katanya kepada Bernama di sini pada Jumaat.

Sehingga 7 malam (waktu tempatan), skuad Muay Thai Malaysia yang berentap pada Kejohanan Muay Thai Dunia 2021 memenangi tiga pingat emas iaitu menerusi Texas Jeremy Lo (J12-13 Remaja 44 kg), Ahmad Akid Mohd Nazrul Hisyam (J12-13 Remaja, 54 kg) dan Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar (J11-13 Remaja, 32-36 kg).

Selain itu, pasukan negara turut membawa pulang dua perak dan lima gangsa.

Artikel Berkaitan:

Malaysia menghantar atlet Muay Thai berusia 10 hingga 30 tahun dalam pelbagai kategori iaitu Senior, Bawah 23 dan Remaja pada kejohanan yang pertama kali diadakan sejak pandemik Covid-19 menular di seluruh dunia. - Bernama