X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

Kejohanan tertutup platform pilih atlet ke Vietnam

Mohd Manshahar
A
A

LEBIH 300 atlet dari seluruh negara akan mewarnai saingan kejohanan tertutup olahraga kebangsaan di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, di sini, pada 18 dan 19 Disember ini.

Ketua Jurulatih Skuad Olahraga Kebangsaan, Mohd Manshahar Abdul Jalil berkata, kejohanan anjuran Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) itu akan menjadi platform pemilihan atlet untuk mewakili negara ke Sukan SEA Vietnam pada 12 hingga 23 Mei ini.

"Kejohanan yang menjadi penutup tirai tahun ini boleh dianggap sebagai pertandingan yang besar selepas KOM menganjurkan sebuah kejohanan berskala besar seperti ini awal tahun lepas.

"Saya menjangkakan lebih 300 atlet akan sertai kejohanan ini yang juga menyaksikan atlet kebangsaan mewakili negeri masing-masing minggu depan," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Manshahar juga difahamkan terdapat persatuan negeri yang akan menghantar atlet mereka untuk menjadikan kejohanan itu sebagai medan persediaan bagi menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) di Kuala Lumpur tahun depan.

Katanya, setiap atlet yang bertanding juga perlu melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 manakala penganjuran kejohanan itu akan berlangsung dalam prosedur operasi standard (SOP) ketat seperti mengamalkan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka kecuali ketika sedang beraksi di trek mahupun padang.

Mengenai perancangan tahun depan, Manshahar memaklumkan setakat ini masih belum ada mana-mana pertandingan bakal disertai atlet kebangsaan kecuali temasya sukan seperti Sukan SEA Vietnam dan Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China.

Menurutnya, pihaknya bersama barisan kejurulatihan akan memuktamadkan takwim pertandingan termasuk proses dokumentasi serta bajet yang akan digunakan untuk membawa atlet kebangsaan bertanding pada mana-mana kejohanan dalam minggu kedua Januari ini.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!