Kerajaan teliti parameter gubal undang-undang kebebasan maklumat

Wan Junaidi - Foto Bernama
Wan Junaidi - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan sedang meneliti parameter yang terlibat dalam menggubal undang-undang kebebasan maklumat untuk Malaysia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Bercakap ketika merasmikan Forum Hak Mendapat Maklumat menerusi rakaman video pada Jumaat, Wan Junaidi berkata, kerajaan kini mengadakan libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan untuk tujuan itu.

“Walaupun kita bersetuju bahawa undang-undang mengenai kebebasan maklumat ini penting buat Malaysia hari ini, kita tidak boleh mengabaikan perkongsian dan menjaga kepentingan negara dan ketenteraman awam adalah sama pentingnya dengan menggubal undang-undang itu sendiri,” katanya dipetik dalam kenyataan yang dikeluarkan bersempena forum itu.

Beliau berkata, hak untuk mendapatkan maklumat memberi kesan besar kepada Malaysia dalam senario hak asasi global semasa, ketika negara sedang berusaha ke arah sebuah negara yang telus dan terbuka.

Wan Junaidi berkata, inisiatif itu jelas menyokong kesedaran orang ramai terhadap hak mereka dalam mendapatkan maklumat yang tepat dan boleh dipercayai tepat pada masanya.

Katanya, hak untuk mendapatkan maklumat memudahkan orang ramai memberikan pendapat mengenai sesuatu isu, sekali gus menggalakkan penyertaan konstruktif dalam sebarang perdebatan atau perbincangan yang berkaitan dengan proses membuat keputusan tertentu.

Ia juga memastikan kepentingan awam, ketelusan dan meningkatkan demokrasi penyertaan, tadbir urus yang baik dan mengukuhkan kedaulatan undang-undang.

“Kegagalan mendapatkan data yang tepat akan membawa kepada penyebaran berita palsu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Forum itu dianjurkan bersama oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri; Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) sempena Hari Hak Asasi Manusia Antarabangsa. - Bernama