Bahayakah benjolan seperti guli di pergelangan tangan?

Contoh ganglion.
Contoh ganglion.
A
A
A

ANDA MUSYKIL, DOKTOR JAWAB

SOALAN 1

DOKTOR, saya risau apabila pergelangan tangan saya ada benjolan keras seperti guli. Ia lebih jelas kelihatan apabila pergelangan tangan dibengkokkan. Kadangkala saya rasa sangat tidak selesa. Adakah keadaan ini membahayakan?

-RISAU, ZARINA ABDUL HALIM, KUALA TERENGGANU, TERENGGANU

JAWAPAN:

BENJOLAN seperti guli ini mungkin adalah ganglion. Ia adalah ketumbuhan tisu yang paling kerap terjadi pada sendi ini.

Kira-kira 70 peratus daripada ganglion terjadi pada bahagian belakang (dorsum) pergelangan tangan iaitu ia muncul dari sendi scapholunate.

Manakala bakinya pada bahagian permukaan depan (volar) dari sendi radiocarpal dan scaphotrapezial.

Artikel Berkaitan:

Adakalanya ia terlalu kecil sehinggakan cuma boleh dilihat apabila pesakit membengkokkan pergelangan tangan.

Kandungan benjolan ini adalah campuran cecair sendi iaitu glucosamine, albumin, globulin dan Hyaluronic acid.

Kesan tekanan atau pressure effect akan mengakibatkan sebahagian pesakit akan mengadu ketidakselesaan akibat kehadirannya apabila sedang beraktiviti.

Bukan kanserAda kalanya juga ganglion ini boleh menekan saraf yang berhampiran menyebabkan tangan rasa kebas.

Bagaimanapun, ia adalah tidak merbahaya dan tiada risiko untuk berubah menjadi kanser.

Ganglion terbentuk akibat kelemahan pada lapisan tisu yang melapisi sendi sehingga cecair synovial menolaknya keluar dan membentuk benjolan ini.

Ia boleh terjadi pada mana-mana sendi namun lebih kerap terjadi pada pergelangan tangan.

Terdapat 2 teori iaitu Teori Trauma dan Teori Keradangan (inflammation) yang cuba menjelaskan kenapa kelemahan tisu ini berlaku namun jawapan sebenarnya masih kekal misteri.

Secara peribadi, saya berpendapat anda perlu segera berjumpa doktor sekiranya terdapat sebarang benjolan atau kebengkakkan pada mana-mana anggota badan anda.

Kita perlu pastikan bahawa ia adalah sesuatu yang tidak bahaya.

Selain daripada ganglion, kebengkakan atau benjolan boleh disebabkan oleh ketumbuhan lain seperti lipoma (ketumbuhan sel lemak), sebaceous cyst (benjolan kelenjar peluh) atau pun abscess (nanah).

Diagnosis ganglion ini dibuat berdasarkan pemeriksaan klinikal. Secara umumnya anda tidak perlu menjalani imbasan X-ray. Sekiranya pembedahan diperlukan, darah mungkin perlu diambil sebelum anda dilihat oleh doktor bius.

Rawatan:

Tanpa Pembedahan:

- Ganglion yang tidak menimbulkan sebarang masalah boleh dibiarkan.

- Disedut keluar (Aspiration): Risiko bagi ganglion tersebut kembali terjadi adalah tinggi iaitu 50 peratus.

Pembedahan:

- Pembedahan dilakukan sekiranya ia menimbulkan masalah seperti sakit, kebas atau pesakit meminta ia dibuang atas sebab kosmetik dan sebagainya.

Jari 'jammed' gagal diluruskan lepas menghalang

SOALAN 2

Doktor, jari saya selalu tiba-tiba jadi jammed atau tidak boleh diluruskan semula selepas genggaman. Apa puncanya doktor?

-PERLU JAWAPAN, SURAYA IBRAHIM, SUNGAI BULOH, SELANGOR

Jawapan:

Anda mungkin mempunyai kondisi yang dikenali sebagai Trigger Finger. Ia seoalah-olah jari anda sedang bersedia memetik picu senapang atau pistol bukan?

Biasanya pesakit boleh membengkokkan jari mereka ketika menggenggam tangan, namun tidak apabila mereka membuka genggaman.

Sebab masalah ini terjadi masih belum diketahui sepenuhnya.

Namun, kajian menunjukkan proses pembengkakan (inflammation) pada lapisan luar urat jari atau tendon (flexor tendon pulley) yang menyebabkan ia menebal dan seterusnya menyempitkan laluan tendon tersebut ketika pergerakkannya.

Masalah ini lebih kerap berlaku kepada pesakit wanita yang berusia antara 40 hingga 60 tahun.

Pesakit kencing manis mempunyai risiko yang lebih tinggi bagi mendapat masalah ini.

Saya juga melihat ia berlaku pada pesakit-pesakit yang pekerjaan mereka melibatkan penggunaan tangan yang kerap seperti menjahit dan menaip, biasanya berlaku kepada tangan dominan mereka.

Pesakit biasanya datang dengan rasa sakit pada bahagian hujung tapak tangan.

Sekiranya dibiarkan tanpa rawatan, masalah ini akan berlarutan sehingga menyebabkan jari menjadi lekat atau jammed.

Pada peringkat awal, pesakit mungkin masih boleh meluruskan jari tersebut dengan menggunakan tangan beliau yang sebelah lagi, namun pada peringkat yang teruk, jari ini tidak akan dapat diluruskan langsung.

Sekiranya pesakit datang awal, ia boleh dirawat secara konservatif iaitu tanpa pembedahan dengan fisioterapi dan ubat antiradang.

Suntikan steroid kadangkala berguna bagi merawat pesakit yang gagal dirawat dengan fisioterapi.

Sekiranya jari pesakit telah pun jammed dan tidak dapat diluruskan, maka pembedahan perlu dilakukan.

Setelah ubat bius setempat diberikan, satu turusan kecil sepanjang 1 sentimeter akan dibuat pada tapak tangan pesakit bagi memotong Al Pulley yang sempit. Dengan cara ini, tendon akan kembali bebas berfungsi.

Profil Dr Ahmad Mahyuddin Mohamed

Merupakan Pakar Bedah Ortopedik di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, Pahang. Berpengalaman selama 7 tahun sebagai doktor pakar. Beliau juga aktif berkongsi ilmu kesihatan dan menulis di portal kesihatan khususnya berkaitan ortopedik.

Dr Ahmad Mahyuddin
Dr Ahmad Mahyuddin