DUN Rantau ibu segala PRK: Penganalisis

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Pilihanraya kecil yang bakal berlangsung di DUN Rantau disifatkan sebagai ibu kepada semua PRK kerana ia bakal menjadi medan pertempuran antara dua gergasi politik negara iaitu BN dan PH membuktikan kehebatan masing-masing.

Menurut Penganalisis Politik, Prof. Dr. Sivamurugan Pandian, BN perlu memenangi pilihanraya tersebut kerana mahu membuktikan bahawa sokongan rakyat terhadap PH sudah semakin berkurangan dan dalam masa yang sama terus mempertahankan sokongan pengundi Melayu seperti di Semenyih dan Cameron Highlands.

Jelas beliau, kemenangan itu sangat penting bagi BN kerana calon mereka iaitu Datuk Seri Mohamad Hasan merupakan Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden yang juga pemangku Pengerusi BN.

"Bagi PH pula mereka perlu menang bagi mengikis persepsi bahawa sokongan pengundi terhadap mereka sebenarnya tidak terhakis. Jadi saya boleh simpulkan bahawa ini akan menjadi ibu kepada semua PRK yang pernah dibuat sebelum ini," katanya kepada Sinar Harian.

ARTIKEL BERKAITAN: PRK DUN Rantau: Dr S Streram wakil calon PH

Semalam, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Penyelaras DUN PKR Rantau, Dr. S. Streram dipilih sebagai calon PH bagi PRK DUN Rantau 13 April ini.

Pemilihan itu berdasarkan konsensus Mesyuarat Majlis Presiden PH yang diadakan pada 9 Mac lalu itu juga diukur berdasarkan kelayakan akademik, pengalaman kerja dan bertepatan dengan perkembangan semasa PRU14 lalu.

Streram telah dinafikan hak semasa PRU14 lalu sehingga membawa kepada keputusan di mahkamah yang membatalkan kemenangan Mohamad Hasan untuk kerusi DUN Rantau pada PRU-14 lalu sekali gus PRK perlu diadakan.

Sebelum ini, lebih daripada 10 nama telah dikemukakan oleh pelbagai pihak kepada PH Negeri Sembilan memohon untuk dijadikan calon PRK bagi kerusi DUN Rantau tersebut.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Sivamurugan berkata, PH pasti berhadapan dengan laluan sukar kerana Mohamad Hasan merupakan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dan mempunyai ciri-ciri seorang pemimpin yang baik serta ada kredibiliti yang tinggi.

"Mohamad Hasan kini hanya mempunyai jentera parti sahaja memandangkan sebelum ini kekuatan beliau atas kapasiti jawatan Menteri Besar namun kelebihan itu sudah tiada lagi dan kini berpihak kepada PKR.

"Sama ada Pas boleh berikan kekuatan kepada jentera BN, saya rasakan kali ini lebih kepada keperibadian Mohamad Hasan yang akan menjadi modal utama bagi memenangi PRK ini," jelasnya.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) itu menjelaskan, Streram pula sedikit terjejas kerana terdapat konflik dalaman selepas beberapa pihak menimbulkan cerita negatif terhadap pemimpin tersebut.

"Mungkin ini sebab utama Anwar Ibrahim membuat pengumuman 17 hari lebih awal calon PH berbanding amalan yang pada kebiasaannya dalam tempoh dua hari sebelum penamaan calon. Mungkin PKR mahu meredakan konflik dalaman antara mereka," kata beliau.

Sivamurugan berkata, Streram memerlukan sekurang-kurangnya 80 peratus undi daripada pengundi Melayu dan 40 peratus undi daripada bukan Melayu untuk memenangi PRK tersebut.

"Berdasarkan trend pengundi nampaknya pengundi Melayu akan menyokong BN dan pengundi bukan Melayu terus menyokong PH," katanya.