Piala AFF: Perubahan posisi tidak jejas rentak Muhammad Syahmi

Muhammad Syahmi Safari
Muhammad Syahmi Safari
A
A
A

PEMAIN negara, Muhammad Syahmi Safari semakin selesa beraksi di posisi pertahanan kiri skuad kebangsaan selepas menggalas tanggungjawab itu pada dua aksi pertama saingan kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2020 di Singapura.

Muhammad Syahmi berkata, sebagai seorang pemain pertahanan yang biasa beraksi di sebelah kanan, perubahan posisi itu memberikan cabaran kepada beliau terutama dari aspek kedudukannya ketika bertahan.

Namun, beliau sudah menemui rentak permainan diperlukan selepas beraksi di posisi itu sebanyak tiga kali sejak diturunkan pada aksi saingan kumpulan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Thailand pada Jun lepas.

"Alhamdulillah daripada satu perlawanan ke perlawanan lain saya sudah dapat sesuaikan diri dengan keadaan dan situasi tertentu di posisi kiri dalam permainan.

"Sebelum ini memang agak kekok sebab kena menyesuaikan diri dengan kedudukan. Kekurangan saya di sebelah kiri adalah disebabkan saya terbiasa dengan cara bertahan di sebelah kanan yang mana saya tahu kedudukan yang betul," katanya pada sidang akhbar skuad kebangsaan secara maya pada Jumaat.

Pada kempen Piala AFF 2020, Muhammad Syahmi terus menjadi pilihan ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe untuk beraksi di sebelah kiri susulan ketiadaan La'Vere Corbin-Ong yang menjadi pemain biasa menggalas tanggungjawab di posisi tersebut.

"Setakat ini kita nampak Syahmi bermain dengan begitu konsisten dan kita lihat walaupun bermain di sebelah kiri tetapi sumbangan dalam pasukan cukup tinggi," kata Cheng Hoe yang mengemudi pasukan meraih kemenangan dalam dua aksi pertama saingan Kumpulan B di Singapura.

Kebolehan pemain berusia 23 tahun itu beraksi di posisi berbeza nyata melegakan Cheng Hoe, malah beliau mengakui sebagai jurulatih beliau gembira jika lebih ramai pemain mempunyai kemampuan sama.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Muhammad Syahmi menggesa rakan sepasukan untuk terus mengekalkan momentum cemerlang selepas menewaskan Kemboja dan Laos menjelang pertembungan getir bertemu juara bertahan, Vietnam pada aksi ketiga saingan kumpulan di Stadium Bishan pada Ahad ini.

"Kita dah jumpa Vietnam banyak kali juga, daripada kempen Piala AFF 2018 sehingga kelayakan Piala Dunia (baru-baru ini). Rasanya taktikal mereka tak banyak berubah sebab dari tahun 2018 mereka kekalkan disiplin permainan yang sama.

"Boleh tengok mereka bermain dengan lima pemain ketika bertahan dan mereka sangat laju ketika menyerang. Apa paling penting di sini kami kena ambil perlawanan ini dengan lebih serius dan berdisiplin untuk kekang Vietnam," katanya. - Bernama