Aspirasi Keluarga Malaysia tunjuk kemahuan rakyat

Shamrahayu - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
Shamrahayu - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Aspirasi Keluarga Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menunjukkan kehendak rakyat ingin dicapai sebagai satu keluarga.

Pakar perlembagaan, Profesor Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata, keluarga tidak semestinya membawa hubungan pertalian darah tetapi mempunyai satu titik persamaan sebagai satu warganegara Malaysia.

“Jadi titik persamaan itu adalah keluarga dan berkemungkinan di Malaysia ini ada yang datang untuk mendapatkan rezeki di sini. Konsep ini kita boleh memakmurkannya.

“Secara ringkas, aspirasi Keluarga Malaysia ialah kemahuan keluarga yang boleh membantu satu sama lain.

“Konsep ini meraikan perbezaan, kepelbagaian dan mengeratkan perpaduan,” katanya dalam Wacana Sinar Harian edisi ke-310 bertajuk 'Keluarga Malaysia: Aspirasi Rakyat Malaysia' yang disiarkan secara langsung menerusi platform Sinar Harian pada Khamis.

Turut menjadi panelis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Profesor Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain; penganalisis politik daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian, manakala Ally Iskandar bertindak sebagai moderator.

Selain itu, Shamrahayu berkata, rakyat meneliti asal usul, latar belakang dan personaliti seorang Perdana Menteri yang boleh dijadikan contoh serta ikutan, selari dengan gagasan yang dibawa.

Menurutnya, sekiranya dinyatakan berkenaan sikap Perdana Menteri yang digelar sebagai ahli keluarga, ia bermakna pendekatan tersebut lebih mendasar serta dekat dengan rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Sebenarnya ahli keluarga pelbagai bangsa ataupun etnik biasanya kita panggil pakcik dan makcik. Jadi istilah itu sebenarnya telah digunakan dan ia sangat popular.

“Apabila orang menggelarkan Ismail Sabri sebagai 'Pak Long Mail' semasa menjadi menteri kanan, bermakna konsep Keluarga Malaysia itu mencapai kepada khalayak yang lebih ramai,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, istilah Keluarga Malaysia itu menunjukkan kepribadian Ismail Sabri sendiri yang dekat dengan rakyat walaupun digunakan oleh ramai pemimpin.

“Orang kata cubit paha kiri, paha kanan terasa. Jadi itulah gagasan yang mahu dibawa olehnya.

“Ada segelintir masyarakat yang mendapat kesusahan atau kepayahan, beliau akan meneliti masalah. Saya lihat ini pertama kali Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) dibentuk di bawah jabatan Perdana Menteri itu sendiri.

“YKM ini untuk menjaga anak-anak yang kehilangan ibu atau bapa atau kedua-duanya akibat pandemik Covid-19. Jadi ini menunjukkan keprihatinan beliau kepada masyarakat yang telah terkesan akibat Covid-19 atau malapetaka lain,” katanya.

Shamrahayu berkata, membantu anak yatim merupakan satu tanggungjawab kerajaan dan ini telah dilakukan oleh Ismail Sabri sendiri.

“Ini merupakan satu sumbangan yang sangat besar dan menunjukkan keperibadian beliau sendiri untuk memastikan setiap lapisan masyarakat diberikan peluang pendidikan.

“Istilah keluarga ini menunjukkan keperibadian seorang pemimpin. Saya fikir walaupun bukanlah satu yang baharu tetapi istilah ini yang dekat dengan rakyat daripada jurang yang ada dalam negara,” jelas beliau.