Forum politik: Keterbukaan universiti era Malaysia Baharu

Ahmad Suffian (kanan) melihat forum politik itu sebagai keterbukaan universiti dalam era Malaysia Baharu.
Ahmad Suffian (kanan) melihat forum politik itu sebagai keterbukaan universiti dalam era Malaysia Baharu.
A
A
A
KUALA TERENGGANU- Penganjuran forum politik di Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) yang melibatkan tokoh-tokoh politik muda Terengganu, baru-baru ini menunjukkan keterbukaan universiti dalam era Malaysia Baharu.

Ketua Perhubungan Mahasiswa, Majlis Perwakilan Pelajar Unisza, Ahmad Suffian Mohd Dalizan berkata, perkembangan positif itu merupakan satu perubahan yang besar di negara ini dalam menuju ke arah sebuah negara yang maju dan ke hadapan.

“Dalam forum itu, wakil-wakil parti politik sama ada dari kerajaan mahupun pembangkang dibenarkan untuk berdiskusi secara intelektual dan melontarkan isu-isu serta dasar-dasar kerajaan untuk dinilai oleh mahasiswa dan warga universiti, sesuai dengan kancah pergolakan medan ilmu.

“Perkara atau sikap yang diambil oleh kerajaan kini tidak pernah dirasai oleh golongan akademik dan mahasiswa mahupun golongan politik sebelum ini.

“Ini merupakan suatu bentuk kebebasan berdiskusi dan kebebasan bersuara yang dipraktikkan pada hari ini untuk masyarakat Malaysia dan mahasiswa khususnya. Hal yang sangat positif ini perlu dilihat dari sudut kekuatan demokrasi dan sosial masyarakatnya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Artikel Berkaitan:


Forum politik bertajuk ‘Malaysia Baharu, Apa kata orang muda?’ itu melibatkan panel daripada kalangan tokoh-tokoh muda dari parti politik di Terengganu.

Antara panel itu adalah Ketua Pemuda PH Terengganu, Hasbie Muda; Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera dan Timbalan Ketua Pemuda Pas Terengganu Hishamuddin Abdul Karim.

Ia dianjurkan Kelab Cakna Modal Insan Terengganu (CAKNA) dan Kelab Pemikir Muda UniSZA dan merupakan program politik yang pertama di kampus universiti negeri Pantai Timur.