Perjumpaan 19 'datuk bandar' berkaitan usaha jaga keselamatan

Sabah - Foto 123rf
Sabah - Foto 123rf
A
A
A

KOTA KINABALU - Perjumpaan 19 ‘datuk bandar’ dari selatan Filipina baru-baru ini adalah berkaitan usaha menjaga keselamatan dan rancangan mempertahankan kawasan itu daripada elemen yang menggugat keselamatan, bukan merancang plot baharu untuk menawan Sabah.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali berkata, berita palsu berkenaan telah dimanipulasikan individu tertentu yang cemburu dengan keamanan dan keselamatan dikecapi negeri ini serta Malaysia keseluruhannya.

"Maklumat itu tidak sahih, kita dapat maklumat perjumpaan itu fokus untuk keselamatan di sana bagi mempertahankan diri mereka daripada elemen pengganas, 'lawless elements' dan sebagainya, kemudian mereka hendak menjemput lebih ramai pelabur masuk (ke kawasan itu).

ARTIKEL BERKAITAN: Polis nafi laporan plot terbaharu tawan Sabah dari selatan Filipina

Tahap keselamatan, kesiapsiagaan di Sabah pada tahap tertinggi

"Maklumat ini dimanipulasi, ini bukan perlakuan daripada negeri tapi lebih kepada individu. Walau apapun, kita di pihak keselamatan sentiasa bersedia, Sabah dan seluruh Malaysia kita sentiasa bersedia, ini bumi kita tetap kita akan pertahankan," katanya pada sidang akhbar di Menara Kinabalu di sini pada Jumaat.

Beliau sebelum itu menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Komander Eastern Command daripada Datuk Ahmad Fuad Othman kepada Hamzah Ahmad, disaksikan Ketua Menteri, Datuk Hajiji Mohd Noor dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah.

Baru-baru ini, media melaporkan satu mesyuarat bagi membincangkan rancangan menyerang Sabah dipercayai diadakan di selatan Filipina, yang mana kononnya terdapat rancangan bagi merekrut 600 individu untuk menyerang negeri itu serta menghantar pengintip.

Artikel Berkaitan:

Hazani berkata, pihak keselamatan di negara ini mempunyai kerjasama erat dengan pasukan keselamatan negara jiran melibatkan pertukaran maklumat dan pelbagai elemen bersama.

"Setiap kali ada acara besar di sana seperti pilihan raya akan timbul perkara seperti ini. Kita ada kerjasama, jika ada ancaman pasukan keselamatan negara jiran akan salur maklumat kepada kita, seperti kumpulan Abu Sayyaf masuk Sabah kita terima maklumat dari mereka," katanya.

Sementara itu, Hamzah berkata, beliau akan memastikan kerjasama erat terjalin dengan semua pasukan keselamatan di kawasan pantai timur Sabah bagi menjaga keamanan serta keselamatan di kawasan tersebut terutama di Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZone).

"Saya akan semak semula apa perlu diberi penambahbaikan dan kita buat pembaharuan dalam usaha penugasan keselamatan ini bagi memastikan kita berada dalam keadaan selamat dan baik sentiasa," katanya. - Bernama