Perak sedia kurangkan bayaran premium tanah Kampung Baharu

Saarani Mohamad
Saarani Mohamad
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak sedia memberi pengurangan bayaran premium tanah kediaman Kampung Baharu kepada individu yang benar-benar layak dan memerlukan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ketika ini kerajaan negeri menetapkan kadar premium bagi tanah kediaman Kampung Baharu di negeri ini dengan diskaun 80 peratus daripada kadar premium asal kepada pemilik terakhir tanah yang memohon pembaharuan.

Beliau berkata, manakala diskaun 75 peratus daripada kadar premium asal diberikan kepada waris pemilik terakhir tanah yang memohon pembaharuan seperti mana yang dijelaskan melalui Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Bil 4/2019.

"Daripada penetapan ini, kadar premium yang dikenakan adalah munasabah dengan diskaun yang diberikan. Bagaimanapun, kerajaan negeri bersedia untuk menimbangkan permohonan rayuan pengurangan premium kepada individu yang benar-benar layak dan memerlukan seperti mana yang digariskan dalam Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perak Bil.3/2020.

"Kebanyakan pemilik tanah kategori kediaman di kawasan Kampung Baharu ini adalah dalam kalangan generasi kedua dan ketiga daripada pemilik asal tanah tersebut semasa diwujudkan buat pertama kalinya. Hal ini dikenal pasti apabila berlaku pertukaran nama pemilik tanah kepada waris-waris tuan punya tanah tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari ketika Mesyuarat Kedua, Tahun Keempat Dewan Negeri Perak ke-14 di sini pada Jumaat.

Saarani berkata, Perak mempunyai sebanyak 160 buah Kampung Baharu yang telah wujud sejak zaman darurat Tanah Melayu bermula pada tahun 1950-an.

Menurutnya, Kampung Baharu ini berada di dalam lokasi yang strategik di setiap daerah di Perak iaitu berada di kawasan pekan dan desa.

Artikel Berkaitan: