Papan tanda tulisan Bangladesh: Juwairiya kesal, mohon maaf

Salah satu papan tanda yang tular di Facebook pada Khamis.
Salah satu papan tanda yang tular di Facebook pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Kuala Selangor, Juwairiya Zulkifli memohon maaf berikutan kesilapan cetakan menggunakan tulisan Bangladesh di samping bahasa kebangsaan pada beberapa papan tanda ranting parti itu sekitar Kuala Selangor.

Juwairiya berkata, tindakan segera pembetulan sedang dilakukan berhubung perkara terbabit.

"Saya merasa kesal di atas isu ini dan memohon maaf atas kesilapan yang tidak seharusnya berlaku berkait isu terbabit.

"PKR Cabang Kuala Selangor sentiasa mengangkat prinsip keadilan dan kepedulian untuk seluruh rakyat serta menghormati kepelbagaian bangsa dan agama yang membentuk keluarga besar PKR," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Juwairiya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati memberitahu, PKR merupakan sebuah parti berbilang bangsa dan agama yang mencerminkan kemajmukan masyarakat Malaysia yang sebenar.

"Kepelbagaian ini merupakan satu kekuatan yang harus dipupuk bersama untuk mencapai matlamat yang lebih besar demi kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia," katanya.

Sebelum ini, beberapa gambar menunjukkan penggunaan beberapa bahasa termasuk bahasa Benggali yang merupakan bahasa rasmi negara Bangladesh pada papan tanda ranting cabang itu tular di media sosial sekali gus mengundang kecaman netizen serta ahli politik.

Artikel Berkaitan: