Serah kepada PM kemuka nama calon Ketua Hakim Negara

Liew Vui Keong
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Datuk Liew Vui Keong berkata beliau tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung nama-nama calon bagi menggantikan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum.

Sebaliknya kata beliau perkara itu merupakan prerogatif Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang akan mengemukakan cadangan nama-nama calon kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Pelantikan ketua hakim negara dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat daripada perdana menteri," katanya ketika ditanya mengenai calon yang bakal menggantikan Malanjum yang akan bersara April ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran perkhidmatan dalam talian modul e-Review dan persidangan video di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Buat permulaan, perkhidmatan dalam talian yang memberi dimensi baharu kepada badan kehakiman itu akan dilaksanakan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Mahkamah Pulau Pinang dan Mahkamah Shah Alam secara percuma selama tiga bulan bermula Mac hingga Mei tahun ini.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Malanjum, Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Ahmad Maarop, Hakim Besar Malaya Tan Sri Zaharah Ibrahim dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Seri David Wong Dak Wah.

Semalam, sebuah akhbar tempatan melaporkan Malanjum masih berteka-teki berhubung calon yang bakal menggantikan beliau sebagai ketua hakim negara dan menyerahkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman bagi menentukannya.

Beliau yang telah mencapai usia 66 tahun itu telah disambung tempoh perkhidmatan selama enam bulan sebelum ini.

Malanjum sebelum ini merupakan Hakim Besar Sabah dan Sarawak telah dilantik menggantikan Tun Md Raus Sharif yang meletakkan jawatan sebagai Ketua Hakim Negara bermula 11 Julai 2018.

Antara Hakim Mahkamah Persekutuan yang bakal mencapai usia 66 tahun tahun ini ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Ahmad Maarop serta Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Seri David Wong Dak Wah.

Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan seseorang hakim wajib bersara selepas berusia 66 tahun enam bulan. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia