X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 25 Mei 2022

Barang tiruan bernilai RM8 juta dirampas di KL sepanjang 2021

KPDNHEP Kuala Lumpur merampas barangan tiruan bernilai RM8 juta dalam Ops Jeriji sepanjang tahun 2021 di sekitar ibu negara
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas barangan tiruan dengan nilai mencecah RM8 juta menerusi Ops Jeriji yang dijalankan di sini sepanjang tahun 2021.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri Pejabat KPDNHEP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Nurul Syarina Md Anuar berkata, operasi penguatkuasaan perlindungan harta intelek giat dijalankan selepas memasuki Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menurutnya, sebanyak 69 kertas siasatan telah dibuka sepanjang 2021 membabitkan seramai 19 warga tempatan dan empat warga asing.

"Sebanyak 58 kes di bawah Akta Cap Dagangan 2019 telah diambil dengan jumlah sitaan sebanyak 294,676 unit dan nilai sitaan sebanyak RM7,101,426.

"Sebanyak lapan kes di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 telah diambil dengan jumlah sitaan sebanyak 36,176 unit dan nilai sitaan berjumlah RM 891,942," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Nurul Syarina memberitahu, pihaknya turut mengambil tindakan di bawah Akta Hak Cipta 1987 melibatkan sebanyak tiga kes dengan sitaan sebanyak tujuh unit barangan bernilai RM18,400.

"Jenis barang tiruan yang paling tinggi disita adalah melibatkan pakaian, beg, kasut, aksesori dan peralatan elektronik," jelasnya.

Dalam pada itu, pihaknya memberi amaran keras kepada mana-mana pihak supaya tidak melanggar undang-undang kerana tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang ingkar.

"Orang ramai juga diminta untuk tidak bersubahat dengan membeli barangan tiruan berjenama daripada peniaga-peniaga yang tidak bertanggungjawab. Sebarang aduan boleh disalurkan menerusi [email protected] atau aplikasi Whatsapp di talian 019- 279 4317," ujarnya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!