X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 25 Mei 2022

Harimau kumbang serang remaja orang asli mati ditembak

Seorang lelaki orang asli cedera diserang binatang buas dipercayai beruang dalam kejadian di Kampung Kelatap, Pos Perwor di sini pada Rabu.
A
A

SUNGAI SIPUT - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak terpaksa menembak seekor harimau kumbang yang menyerang anggota terbabit di Kampung Kelatap, Pos Perwor di sini pada Khamis.

Tindakan pantas itu diambil sebagai langkah keselamatan diri ketika anggota sedang memasang perangkap ekoran kejadian lelaki orang asli berusia 18 tahun yang cedera diserang binatang buas itu pada Rabu.

Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, siasatan dijalankan selepas menerima aduan serangan itu daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Perak.

Menurutnya, empat kakitangan Perhilitan Daerah Sungai Siput ke lokasi kejadian kira-kira jam 8.30 pagi dengan membawa perangkap bagi menangkap hidupan liar terlibat.

"Kakitangan mula menjejaki kesan dan meminta penduduk tidak ikut sama atas faktor keselamatan. Hasilnya kakitangan menemui beberapa kesan tapak dipercayai harimau juga kesan darah yang masih baharu pada rumput dan daun.

"Ketika menghampiri kawasan semak berhampiran kebun getah, kakitangan dikejutkan dengan kehadiran seekor harimau kumbang yang meluru ke arah salah sorang daripada mereka.

"Dalam keadaan cemas itu, seorang dari kakitangan telah melepaskan tiga das tembakan dan mengenai harimau kumbang tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, beliau berkata, seorang anggota telah terjatuh kerana terkejut dengan serangan itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Hasil penelitian pada bangkai harimau kumbang berkenaan didapati ia seekor harimau jantan yang dianggarkan berusia antara 9 hingga 10 tahun.

"Terdapat banyak kesan kecederaan dipercayai tetakan parang pada kepala dan peha harimau kumbang berkenaan yang dipercayai akibat pergelutan dengan mangsa," katanya.

Yusoff berkata, pihaknya percaya kesan kecederaan pada kaki harimau terbabit akibat terkena jerat dawai kabel yang menjadi punca harimau kumbang itu bertindak agresif hingga menyerang manusia.

"Kita menemukan seutas jerat dawai kabel di kaki kanan belakang pada bangkai haiwan itu.

"Bangkai harimau kumbang berkenaan akan dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai untuk dibedah siasat," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai untuk menghentikan perbuatan memasang jerat kerana ia dikhuatiri akan mengundang bahaya kepada manusia selain menzalimi hidupan liar terbabit.

ARTIKEL BERKAITAN:Orang asli cedera diserang binatang buas


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!