Kerajaan ambil serius dakwaan rancangan serangan tentera Sulu di Sabah

Timbalan Menteri Pertahanan merangkap Ahli Parlimen Tanah Merah Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz -Foto Bernama
Timbalan Menteri Pertahanan merangkap Ahli Parlimen Tanah Merah Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan mengambil serius sebuah laporan media antarabangsa yang mendakwa ada rancangan rahsia penubuhan 'Tentera Diraja Sulu' dengan kekuatan 600 orang di selatan Filipina dipercayai sebagai persediaan menyerang Sabah, kata Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

“Saya pun ada terbaca tadi, apa pun perkara ini tidak dapat disahihkan berita itu, jadi saya tak dapat beri ulasan apa yang dibangkitkan.

"...tapi saya percaya di pihak kerajaan tentulah apa sahaja berita maklumat akan dipandang secara serius, tidak mahu tragedi Lahad Datu, Sabah berlaku lagi," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat di sini pada Khamis.

Perkara itu dibangkitkan M Karupaiya (PH-Padang Serai) semasa sesi perbahasan peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pertahanan memandangkan ia berkaitan dengan isu keselamatan negara.

Media berkenaan sebelum ini melaporkan satu mesyuarat diadakan pada 1 Disember lepas yang diatur oleh seorang pegawai kanan kerajaan tempatan Wilayah Sulu yang dihadiri 19 datuk bandar di sana bagi membincangkan penubuhan 'Tentera Diraja Sulu' untuk menawan Sabah dengan 11 daripada datuk bandar yang hadir bersetuju dengan rancangan itu.

Serangan ke atas Sabah dikatakan akan berlaku pada Februari tahun depan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata, kerajaan sentiasa bersiap sedia dalam meningkatkan kesiapsiagaan tiga pasukan keselamatan iaitu Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

Menurutnya, setakat ini 304 aset pertahanan sentiasa di atur gerak mengikut kawasan dan tanggungjawab pasukan keselamatan yang terlibat.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan melalui Esszone sentiasa meningkatkan kesiapsiagaan aset penguatkuasaan bagi memastikan keberkesanan pengawasan kawalan serta mewujudkan elemen mencegah rintang yang efektif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Dewan Rakyat.

Rang undang-undang yang memperuntukkan sejumlah RM13,513,284,200 bagi KDN dalam Bajet 2022 itu diluluskan selepas dibahas 21 ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang serta Bebas.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung Isnin. - Bernama