Program Halal Suri bantu wanita jana pendapatan

Mohd Zawawi (tengah) bergambar bersama peserta-peserta Program Halal Suri di Wisma Kohijrah Selangor di Seksyen 32 pada Khamis.
Mohd Zawawi (tengah) bergambar bersama peserta-peserta Program Halal Suri di Wisma Kohijrah Selangor di Seksyen 32 pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Program Halal Suri menjadi salah satu inisiatif kerajaan negeri dalam meningkatkan ekonomi kaum wanita yang memerlukan sumber kewangan selain mempromosikan produk-produk halal di Selangor.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, program tersebut disasarkan kepada golongan wanita melibatkan suri rumah, ibu tunggal, balu yang berpendapatan di bawah RM3,500.

Menurutnya, peserta program juga akan diberikan geran padanan bernilai RM2,000 daripada kerajaan negeri dan peserta perlu menyediakan modal perniagaan sebanyak RM2,000 bagi mendapatkan produk halal daripada Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah Selangor).

“Program Halal Suri terbuka kepada rakyat Selangor yang bermastautin di negeri ini, kita tawarkan kepada 56 peserta di kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor untuk melihat keberkesanan inisiatif ini.

“Antara kriteria lain ialah peserta perlulah penghuni yang tinggal di kawasan pangsapuri yang mempunyai penduduk padat bagi memudahkan mereka mendapat makanan halal,” katanya ketika berucap merasmikan program tersebut di Wisma Kohijrah di Seksyen 32 di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Mohd Zawawi berkata, pihaknya turut merancang untuk menambah jumlah peserta program pada tahun hadapan bagi merancakkan produktiviti dan pasaran produk halal yang diusahakan pengusaha makanan di Selangor.

Ujarnya, ia berikutan permintaan tinggi terhadap produk-produk halal dari Malaysia di Afrika Selatan dan Eropah yang mula mempunyai kesedaran tentang kepentingan produk halal.

”Saya difahamkan produk Halal di Malaysia mendapat permintaan tinggi dari negara Afrika Selatan dan Eropah, yang mana kesedaran masyarakat di sana tentang produk halal sangat tinggi, seperti di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Inilah satu peluang yang boleh direbut oleh pengusaha-pengusaha makanan di Selangor yang sudah bersedia bergerak ke peringkat antarabangsa,” katanya.