Selangor pertimbang lanjut tempoh SHMKM

Mohd Zawawi ketika sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Program Halal Suri di Wisma Kohijrah Selangor, Seksyen 32, Shah Alam pada Khamis.
Mohd Zawawi ketika sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Program Halal Suri di Wisma Kohijrah Selangor, Seksyen 32, Shah Alam pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor mempertimbangkan untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) yang baru diperkenalkan pada Selasa.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal negeri, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, ia berikutan permintaan barangan keperluan asas yang meningkat terutama pada musim perayaan dan musim cuti sekolah.

Menurutnya, SHMKM akan diteruskan bagi memastikan harga barangan keperluan dapat dikawal sepanjang tempoh tersebut.

“Kita akan melihat dari semasa ke semasa (keputusan melanjutkan SHMKM) terutama pada hari perayaan dan cuti sekolah yang mana permintaan produk makanan dan barang keperluan agak tinggi," katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Program Halal Suri di Wisma Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah Selangor), Seksyen 32 di sini pada Khamis.

Sementara itu, Mohd Zawawi berkata, pihaknya juga akan membuat pertimbangan untuk menambah barangan keperluan asas lain ke dalam senarai produk SHMKM.

Ujarnya, walaupun masih ada rungutan daripada pengguna berkenaan harga kawalan yang ditetapkan, namun penetapan harga tersebut adalah munasabah.

“Penetapan harga tersebut dibuat berdasarkan beberapa faktor dari segi harga ladang dan harga runcit. Jadi harga yang diperkenalkan itu adalah munasabah.

“Kita akan memantau produk yang paling tinggi permintaannya dalam kalangan pengguna. Jika harganya didapati tidak terkawal, kita akan masukkan ke dalam senarai tersebut,” kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Pada Selasa, SHMKM mula berkuat kuasa di seluruh negara hingga 31 Disember dalam usaha kerajaan untuk menstabilkan harga barangan keperluan serta memastikan bekalan itu mencukupi di pasaran.

Antara barangan disenaraikan di bawah skim itu ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, B dan C, kacang panjang, cili merah, tomato, sawi hijau, kubis bulat import (dari Indonesia dan China) serta timun.