X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 21 Januari 2022

Lebih 140,000 langgan Pakej Remaja, Peranti Keluarga Malaysia

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa -Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) merekodkan lebih 140,000 langganan Pakej Remaja Keluarga Malaysia dan Pakej Peranti Keluarga Malaysia sehingga Rabu.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, jumlah itu melebihi sasaran 100,000 yang ditetapkan, sekali gus menjadi antara pencapaian KKMM yang dirancang bagi Aspirasi Keluarga Malaysia 100 hari pertama.

"Saya berpuas hati dengan prestasi kementerian dan agensi di bawah kementerian yang telah menunjukkan kesungguhan," katanya kepada pemberita pada program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di sini pada Khamis.

Pakej tersebut dilancarkan pada 14 Oktober lepas dan ditawarkan sehingga 15 April tahun depan bertujuan membantu golongan pelajar, remaja serta mereka yang kurang berkemampuan memperoleh akses internet selain memiliki peranti pintar mampu milik.

Annuar sebelum itu meninjau kios KKMM pada program tersebut dan turut melancarkan telefilem SiberKASA terbitan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dengan kerjasama CyberSecurity Malaysia.

Telefilem berdurasi 90 minit mengenai keselamatan siber itu diketengahkan berdasarkan kisah benar isu keselamatan siber yang berlaku setiap hari dalam Keluarga Malaysia.

Annuar berkata, penerbitan telefilem itu dapat meningkatkan kesedaran dan pengetahuan warga digital Keluarga Malaysia mengenai ancaman dan serangan siber serta mampu menyemai sikap positif dan cakna terhadap penggunaan teknologi melalui babak yang dipaparkan.

Program 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia anjuran Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (Sepadu) Jabatan Perdana Menteri itu, menampilkan galeri pencapaian kementerian, program bantuan, pameran kementerian dan agensi, persembahan kebudayaan, serta pameran dan jualan usahawan. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!