Jeriji mudah buka elak mangsa terperangkap

Syed Azman (dua dari kanan) melihat poster Kempen Keselamatan Kebakaran yang dipasang pada Bas Perak Transit di Terminal Bas Amanjaya, Meru Raya pada Khamis.
Syed Azman (dua dari kanan) melihat poster Kempen Keselamatan Kebakaran yang dipasang pada Bas Perak Transit di Terminal Bas Amanjaya, Meru Raya pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Pemilik kediaman disarankan memasang jeriji mudah buka di rumah masing-masing sekali gus dilihat mampu mengurangkan risiko penghuni terperangkap ketika kebakaran.

Penolong Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran (BKK) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Syed Azman Syed Ghazali berkata, kesedaran dalam kalangan pemilik kediaman memasang jeriji jenis itu masih rendah apabila kurang 50 peratus direkodkan di negeri ini.

"Berdasarkan statistik, kebanyakan mangsa kebakaran terperangkap di dalam rumah akibat jeriji kekal yang mana tiada laluan alternatif keluar untuk menyelamatkan diri.

"Kita faham pemasangan jeriji ini bagi aspek keselamatan harta benda untuk mengelakkan kecurian atau rumah diceroboh masuk namun ia juga mestilah mudah dibuka jika berlaku kecemasan," katanya selepas melancarkan Kempen Keselamatan Kebakaran Poster Bas Perak Transit di Terminal Bas Amanjaya di sini pada Khamis.

Menurutnya, kos yang rendah menjadi faktor utama kebanyakan pemilik memilih pemasangan jeriji kekal pada pintu dan tingkap kediaman mereka.

"Walaupun murah, kita perlu fikir dari segi kecemasan terutama ketika berlaku kebakaran kerana pemasangan jeriji itu bukan dilakukan secara berulang setiap tahun, mungkin 20 tahun sekali tukar.

"Jadi apa salahnya kita peruntukkan sedikit wang untuk memasang jeriji yang lebih selamat, bukan untuk keseluruhan rumah tetapi sekurang-kurangnya ada satu atau dua jeriji yang boleh buka. Itu sudah cukup memadai," katanya.

Syed Azman berkata, orang ramai yang ingin membuat pemasangan jeriji boleh mendapatkan nasihat daripada pihak bomba bagi memastikan jeriji yang dipasang adalah selamat.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini tiada peruntukan bagi menguatkuasakan larangan pemasangan jeriji kekal atau tatacara pemasangan jeriji di rumah atau bangunan kediaman.

"Saya sarankan orang ramai untuk mendapatkan pandangan dan nasihat daripada pihak bomba berkaitan reka bentuk jeriji yang selamat untuk dipasang di rumah masing-masing," katanya.

Pada majlis itu, Syed Azman berkata, sebanyak tujuh unit bas Perak Transit digunakan sebagai platform menyebar luaskan mesej kepentingan penggunaan jeriji rumah boleh buka selain kepentingan penyediaan alat pemadam api di setiap rumah menerusi poster yang ditampal pada bahagian belakang bas berkenaan.