X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 28 Januari 2022

Acara 100 hari Keluarga Malaysia catat sejarah

Ismail Sabri (depan, tiga dari kanan) bersama jemaah menteri pada Program 100 Hari Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Komitmen dan kesungguhan tinggi ditunjukkan semua anggota Jemaah Menteri dalam menjayakan acara 100 Hari Keluarga Malaysia mencatat sejarah baharu negara kerana buat julung kalinya, ia membabitkan penglibatan kesemua kementerian dan jabatan kerajaan dalam satu masa.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, berbeza dengan penganjuran acara mega kerajaan sebelum ini yang berfokuskan kepada segmen tertentu, namun acara 100 Hari Keluarga Malaysia kali ini telah mengukir rekod baharu yang begitu unik dan istimewa.

“Ini kerana buat julung kalinya, semua kementerian dan jabatan di bawah kepimpinan 31 anggota Jemaah Menteri bekerjasama dalam satu sinergi yang cukup mantap di bawah semangat Keluarga Malaysia untuk sama-sama menjayakannya,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada Majlis Perasmian Program 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia di sini pada Khamis.

Mohd Zuki juga berharap setiap kementerian terus memberi sepenuh komitmen bagi meneruskan aspirasi tersebut dengan pelbagai inisiatif ke arah kesejahteraan dan kemakmuran seluruh Keluarga Malaysia, dan tidak hanya terhad kepada 100 hari pertama pentadbiran.

Program 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) selama empat hari mulai Khamis dari jam 9 pagi hingga 10 malam.

Mohd Zuki turut menyeru masyarakat untuk menghayati konsep dan makna sebenar aspirasi Keluarga Malaysia terutama ketika menghadapi cabaran pandemik Covid-19.

Beliau berkata, istilah ‘keluarga’ yang membawa takrifan sekumpulan individu yang mempunyai talian persaudaraan dan tinggal di bawah satu bumbung serta saling sayang-menyayangi, bertepatan dengan aspirasi yang diketengahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Apabila disebut frasa ‘Keluarga Malaysia’ ini, ia berkait rapat dengan nilai kekeluargaan kerana keutuhan negara terikat dengan nilai-nilai didikan sempurna dalam sebuah keluarga,” katanya.

Beliau berkata, konsep Keluarga Malaysia juga dizahirkan tepat pada masanya iaitu ketika negara sedang diuji dengan pandemik Covid-19 yang mencetuskan krisis kesihatan dan memberi impak kepada tahap ekonomi negara.

Mohd Zuki berkata, aspirasi tersebut juga secara tidak langsung memberi kekuatan untuk masyarakat dan pemimpin menghadapi cabaran pandemik Covid-19 dan cabaran yang bakal mendatang sebagai sebuah keluarga besar yang prihatin.

Program 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia anjuran Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (Sepadu) Jabatan Perdana Menteri itu menampilkan galeri pencapaian kementerian, program bantuan, pameran kementerian dan agensi, persembahan kebudayaan, serta pameran dan jualan usahawan.

Konsep Keluarga Malaysia yang bertunjangkan nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran diperkenalkan Ismail Sabri menerusi ucapan sulungnya selepas dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan, dan membentuk kerajaan baharu pada Ogos lepas. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!