Kerajaan Johor aktifkan jawatankuasa kerja

Dr Sahruddin
Dr Sahruddin
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri telah mengaktifkan jawatankuasa kerja bagi menangani kejadian pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, di sini.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal berkata, tujuan pengaktifan jawatankuasa kerja itu adalah untuk menyelaraskan dan memantau kejadian tumpahan bahan kimia yang berlaku.

Menurutnya, mesyuarat pengaktifan jawatankuasa kerja itu telah diadakan pada hari ini, dan memutuskan beberapa perkara.

“Mesyuarat bersetuju untuk melantik kontraktor yang dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan di Sungai Kim Kim sepanjang 1.5 kilometer yang akan diselaraskan oleh pihak Jabatan Pengairan & Saliran (JPS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri.

“Ini adalah lanjutan daripada kerja-kerja pembersihan yang telah dilakukan pada 7 dan 8 Mac lalu. Orang awam dinasihati supaya tidak memasuki kawasan di lokasi tempat kerja-kerja pembersihan yang akan dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sahruddin berkata, mesyuarat juga bersetuju supaya Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan Jabatan Pendidikan Agama Negeri Johor untuk menutup beberapa sekolah sehingga satu tarikh yang akan ditetapkan.

Katanya, senarai sekolah yang akan di tutup mulai esok adalah SK Taman Pasir Putih, SMK Taman Pasir Putih, SK Pasir Putih, SK Tanjung Puteri Resort, SMK Tanjung Puteri Resort, SK Kota Masai 2, SMK Kota Masai 2, SK Kota Masai 3, SMK Kota Masai, SK Kota Masai, SK Perigi Acheh, Sekolah Agama Kampung Pasir Putih serta Sekolah Agama Taman Pasir Putih.

“Kerajaan negeri juga menekankan supaya orang ramai untuk mengikut saranan Jabatan Kesihatan Negeri supaya mendapatkan rawatan segera sekiranya mempunyai gejala pedih mata, sakit dada dan sesak nafas dan disyaki terhidu dan terdedah kepada bahan kimia tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, menggunakan air terawat untuk aktiviti harian, kerap mandi dan pakaian yang digunakan hendaklah dibasuh berasingan setiap kali keluar dari rumah bagi mengelakkan kemungkinan sisa toksik terkena di anggota badan,” katanya.

Beliau berkata, turut disarankan untuk mengelakkan diri dari memasuki dan berada di kawasan kejadian tersebut dan dinasihatkan mengelak melakukan sebarang aktiviti termasuk aktiviti riadah berdekatan kawasan Sungai Kim Kim.

“Orang ramai juga diminta mengikuti maklumat terkini kejadian ini dari sumber maklumat yang sahih dan mematuhi arahan pihak berkuasa,” katanya.