X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 23 Januari 2022

Jawatankuasa bebas royalti tidak diperlukan

Nazri
A
A

KOTA BHARU - Penubuhan jawatankuasa bebas bagi mencari penyelesaian berhubung isu royalti minyak Kelantan tidak perlu diwujudkan.

Presiden pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Royalti atau R, Nazri Deraman berkata, ia memandangkan semua prosedur yang seharusnya dilakukan kerajaan negeri Kelantan untuk mendapatkan hak rakyat itu sudah dilaksanakan sebaiknya.

Beliau berkata, kerajaan Persekutuan sebaliknya perlu menetapkan pendirian dalam isu berkenaan dan tidak menjadikannya sebagai mainan politik.

“Jika ditubuhkan jawatankuasa tersebut pun, ia tidak mempunyai apa-apa asas perundangan kerana tidak selaras dengan maksud dan kehendak Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan Perjanjian Royalti 1975.

“Akta dan perjanjian tersebut dengan jelas telah memperincikan tentang kaedah pembayaran dan pengiraan.

"Perkara utama dalam dua dokumen tersebut ialah Kelantan akan dibayar bayaran tunai (royalti) sebanyak lima peratus daripada jumlah pengeluaran petroleum yang dijumpai di dalam dan di luar perairan.

“Sebagaimana Terengganu, Sabah dan Sarawak dibayar tanpa jawatankuasa, Kelantan juga sepatutnya dibayar dengan kaedah yang sama,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini mencadangkan kerajaan Persekutuan menubuhkan jawatankuasa bebas bagi mencari penyelesaian berhubung isu royalti minyak Kelantan dan membincangkan isu tersebut dengan Kementerian Kewangan.

Mengulas lanjut, Nazri berkata, jawatankuasa seperti yang dicadangkan itu sudah diwujudkan sebelum ini iaitu Jawatankuasa Khas Tuntutan Bayaran Tunai Petroleum bagi negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Menurutnya, jawatankuasa itu diumumkan penubuhannya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 4 Ogos 2012.

Bagaimanapun, katanya, jawatankuasa berkenaan mendapat tentangan hebat daripada rakyat Kelantan kerana ia dilihat gagal menyelesaikan isu tuntutan royalti terbabit.

“Apa yang perlu sekarang adalah kerajaan Persekutuan menjelaskan sahaja pembayaran tersebut. Sekiranya gagal dijelaskan dalam masa terdekat, peranan kerajaan negeri untuk membuat tindakan susulan.

“Ahli politik daripada Kelantan juga digesa untuk menggunakan sebaik mungkin kekuatan dan tekanan politik bagi menjayakan misi terpenting ini. Apa ertinya Keluarga Malaysia kalau rakyat Kelantan terus dianaktirikan dan dinafikan hak-hak mereka.

“Seharusnya semangat Keluarga Malaysia tidak meneruskan dasar-dasar yang menzalimi rakyat Kelantan sejak berdekad lalu,” ujar beliau.

ARTIKEL BERKAITAN:Royalti minyak Kelantan sedang dipertimbangkan: Mustapa


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!