Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS pada Khamis susulan minat belian yang berterusan, kata seorang peniaga.
Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS pada Khamis susulan minat belian yang berterusan, kata seorang peniaga.
A
A
A

RINGGIT ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis susulan minat belian yang berterusan, kata seorang peniaga.

Pada jam 6 petang, unit tempatan itu meningkat kepada 4.2150/2180 berbanding dolar AS daripada 4.2240/2260 ketika ditutup pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit berada pada kedudukan yang lebih kukuh pada sesi pagi dengan unit tempatan itu naik setinggi RM4.2075 berbanding dolar AS.

“Namun pada sesi tengah hari, mata wang itu menurun kepada RM4.2165 berbanding dolar AS. Secara umumnya ringgit mengukuh sedikit.

“Daripada perspektif teknikal, ringgit berada dalam keadaan terlebih jual, menunjukkan bahawa mata wang itu bersedia untuk meningkat,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, katanya, isu mengenai varian terkini dan langkah seterusnya oleh negara-negara tertentu untuk menyekat pergerakan manusia akan terus memberi tekanan kepada ringgit kerana permintaan untuk dolar AS berkemungkinan kekal dominan.

“Semua pihak akan bertumpu kepada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) antara 14 hingga 15 Disember.

“Walau apa pun, dolar AS dijangka kekal kukuh dalam masa terdekat,” tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Unit tempatan diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama lain, kecuali euro.

Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0897/0921 daripada 3.0954/0973 ketika ditutup pada Rabu, mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.7117/7174 daripada 3.7206/7227, dan meningkat berbanding pound British kepada 5.5655/5694 daripada 5.5938/5965.

Bagaimanapun, unit tempatan jatuh berbanding euro kepada 4.7705/7739 daripada 4.7672/7695. - Bernama