Dua hospital baharu di Terengganu mulakan operasi 2022

Dr Mamad (dua dari kiri) ketika mengadakan lawatan ke Hospital Dungun baharu pada Khamis.
Dr Mamad (dua dari kiri) ketika mengadakan lawatan ke Hospital Dungun baharu pada Khamis.
A
A
A

DUNGUN - Dua hospital baharu di Terengganu iaitu Hospital Dungun dan Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Nerus dijangka memulakan operasi selewat-lewatnya sebelum Aidilfitri nanti.

Exco Infrastruktur, kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, pembukaan dua hospital itu diharap dapat mengurangkan masalah keperluan katil di hospital terutama dalam tempoh Covid-19 ini.

Menurutnya, Hospital Pengajar UniSZA yang mempunyai 200 katil akan diserahkan kepada pihak universiti dalam beberapa hari lagi, manakala Hospital Dungun yang sepatutnya siap pada tahun 2019 pula dijangka diserah pada 28 Januari depan.

“Projek pembinaan Hospital Dungun baharu dimulakan pada tahun 2016, namun atas sebab beberapa masalah, ia tidak dapat disiapkan hingga memerlukan dua tahun masa tambahan iaitu dijangka siap tahun depan.

“Antara faktor kelewatan adalah perubahan reka bentuk yang perlu mengikut spesifikasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020 yang turut memberi kesan kepada sektor pembinaan.

“Kos projek hospital baharu Dungun ini adalah sebanyak RM125 juta dan saya difahamkan tiada penambahan kos walaupun tempoh masa projek ini dilanjutkan,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Hospital Dungun baharu di sini pada Khamis.

Mamad berkata, kemajuan projek itu kini berada pada tahap 98.2 peratus dan pihak pemaju akan dikenakan denda sekiranya masih gagal menyiapkan Hospital Dungun pada Januari nanti.

“Kita harap perkara ini dapat diselesaikan dan hospital Dungun dapat digunakan secepat mungkin bagi kegunaan orang ramai,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebagai rekod, Hospital Dungun yang baharu itu bakal menjadi hospital pakar ketiga di Terengganu selepas Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan Hospital Kemaman.

Bangunan tersebut mampu mencapai kapasiti 110 katil dengan sebanyak 10 kepakaran disediakan antaranya kecemasan, perubatan, pediatrik, obstetrik dan ginekologi, anestesiologi, ortopedik, psikiatri, pergigian dan patologi.

Hospital Pengajar UniSZA yang menelan kos sebanyak RM332 juta pula mempunyai 200 katil, lengkap dengan peralatan moden seperti CT Scan, angriogram, mammogram dan lain-lain.