Pahang sokong tindakan strategik konservasi Harimau Malaya

Mohd Sharkar pada sesi pergulungan perbahasan sidang Dun Pahang pada Khamis.
Mohd Sharkar pada sesi pergulungan perbahasan sidang Dun Pahang pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang menyokong dan akan melaksanakan secara bersama cadangan dikemukakan National Tiger Implementation Working Group (MyTWG) mengenai tindakan strategik konservasi Harimau Malaya bagi mengelak kepupusan spesies haiwan itu.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, cadangan itu antara lainnya memperkukuhkan usaha bagi menghentikan penurunan populasi Harimau Malaya.

Menurutnya, perkara itu dilakukan menerusi rondaan penguatkuasaan dan pengawalan, pemeliharaan serta pemuliharaan habitat semula jadi Harimau Malaya.

"Kita di Pahang komited terhadap cadangan tindakan strategik bagi Selamatkan Harimau Malaya. Berdasarkan kepada hasil First National Tiger Survey (NTS1), bilangan Harimau Malaya dianggarkan 200 ekor di seluruh Semenanjung Malaysia.

"Pahang merekodkan bilangan tertinggi daripada lapan negeri keliaran Harimau Malaya. Bilangan ini sangat membimbangkan dan Malaysia dijangka kehilangan spesies Harimau Malaya di dalam hutan-hutan di Semenanjung Malaysia dalam tempoh lima hingga 10 tahun sekiranya tindakan drastik tidak diambil dengan segera," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi pergulungan perbahasan pada Mesyuarat kedua Penggal ke empat Dewan Negeri Pahang (DUN) Ke-14 di Wisma Sri Pahang pada Khamis.

Mohd Sharkar berkata, tindakan strategik itu dapat memastikan kelangsungan hidup Harimau Malaya melalui penyediaan instrumen kewangan inovatif dan skim akreditasi habitat Harimau Malaya.

Dalam pada itu, beliau berterima kasih kepada kerajaan Pahang kerana telah memperuntukan sejumlah RM18.80 juta kepada Perbadanan Muzium Pahang bagi mengurus dan mentadbir termasuk menaiktaraf muzium serta kajian pembangunan artifak.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, peruntukan tersebut selari dengan beberapa tranformasi yang sedang di lakukan oleh muzium seperti menaiktaraf muzium, menubuhkan pusat Pusat Kajian Sejarah dan Tamadun Al-Sultan Abdullah (Al-Asar) bagi mempastikan sejarah terpelihara.

"Kita juga ingin menjadikan muzium ini sebagai tempat kajian dan bukannya hanya tempat menyimpan artifak semata-mata.

"Selepas ini Muzium Pahang bakal menjadi pusat rujukan dan pengumpulan segala data serta maklumat yang berkaitan dengan kebudayaan, kesenian dan warisan yang mempunyai hubungan rapat di antara nilai-nilai tradisi, kerohanian serta estetika," katanya.

Persidangan bersambung pada Jumaat.