Tiada kes pelajar berhenti sekolah di Terengganu kerana miskin

Satiful (tengah) bersama pelajar pada Majlis Perasmian Penutup Program Asasi Imtiaz Sekolah-Sekolah Menengah Yayasan Terengganu Dewan Kenanga, Terengganu Equestrian Resort (TER) di Kuala Terengganu pada Khamis.
Satiful (tengah) bersama pelajar pada Majlis Perasmian Penutup Program Asasi Imtiaz Sekolah-Sekolah Menengah Yayasan Terengganu Dewan Kenanga, Terengganu Equestrian Resort (TER) di Kuala Terengganu pada Khamis.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Terengganu tidak merekodkan kes pelajar berhenti sekolah kerana faktor kemiskinan atau ketidakupayaan ibu bapa disebabkan berdepan masalah ekonomi akibat pandemik Covid-19.

Exco Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, ia merupakan kes terpencil kerana tiada perincian yang direkodkan sepanjang tempoh Mac 2020 hingga Julai lalu.

"Kita tiada rekod mengenai isu itu termasuk melibatkan kes berhenti sekolah sebab keluarga susah, malah isu itu tidak berbangkit. Kita juga telah lakukan pemantauan sepanjang tempoh dua tahun kebelakangan ini.

"Semua peringkat seperti Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pihak sekolah memainkan peranan masing-masing dengan baik bagi memastikan tiada murid yang tercicir," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Penutup Program Asasi Imtiaz Sekolah-Sekolah Menengah Yayasan Terengganu Dewan Kenanga, Terengganu Equestrian Resort (TER) di sini pada Khamis.

Satiful berkata, bantuan kerajaan seperti Jaringan Prihatin yang membekalkan data internet dan telefon pintar membantu golongan kurang berkemampuan mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) di rumah.

Bagaimanapun, Satiful berkata, beliau tidak menafikan terdapat pelajar yang tidak hadir ke sekolah kerana kebimbangan ibu bapa terhadap situasi semasa Covid-19.

Katanya, ia tidak melibatkan calon yang terlibat dalam peperiksaan awam seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) kerana perlu hadir bagi menghabiskan sukatan pelajaran.

"Ada pelajar tidak hadir, namun bukan bermaksud dia diberhentikan. Kemungkinan yang tidak hadir sebab ibu bapa tidak mahu hantar anak mereka ke sekolah kerana bimbang pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga tidak ambil tindakan seperti memberhentikan pelajar berkenaan," katanya.

Satiful (kiri) menyampaikan penghargaan kepada seorang pelajar sempena Majlis Perasmian Penutup Program Asasi Imtiaz Sekolah-Sekolah Menengah Yayasan Terengganu Dewan Kenanga, Terengganu Equestrian Resort (TER) di Kuala Terengganu pada Khamis.
Satiful (kiri) menyampaikan penghargaan kepada seorang pelajar sempena Majlis Perasmian Penutup Program Asasi Imtiaz Sekolah-Sekolah Menengah Yayasan Terengganu Dewan Kenanga, Terengganu Equestrian Resort (TER) di Kuala Terengganu pada Khamis.

Pada Ahad lalu, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik meluahkan rasa terkilan apabila mendapati sejumlah 21,316 pelajar di negara ini telah berhenti sekolah sejak Mac 2020 hingga Julai 2021.

Melalui perkongsian ciapan di Twitternya, bekas Menteri Pendidikan itu turut melampirkan jawapan bertulis Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin sebagai respons soalan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad di Parlimen.

Berdasarkan data yang dikongsi bagi tempoh Mac hingga Disember 2020, seramai 11,301 orang atau 0.24 peratus murid berhenti sekolah manakala bagi tempoh Januari hingga Julai 2021 melibatkan seramai 10,015 orang atau 0.21 peratus murid.

Ia menjadikan keseluruhan 21,316 orang atau 0.22 peratus murid berhenti sekolah sejak Mac 2020 hingga Julai lalu.