DUN Sabah pilih Noraini Idris sebagai Senator Dewan Negara

Persidangan DUN Sabah pada Khamis meluluskan usul memilih Noraini sebagai Senator Dewan Negara bagi mewakili negeri itu.
Persidangan DUN Sabah pada Khamis meluluskan usul memilih Noraini sebagai Senator Dewan Negara bagi mewakili negeri itu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah pada Khamis meluluskan usul memilih Ketua Penerangan Wanita UMNO Negeri Sabah, Noraini Idris sebagai Senator Dewan Negara bagi mewakili negeri itu.

Noraini yang juga seorang peguam dilantik bagi menggantikan Timbalan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Donald Peter Mojuntin yang tamat tempoh perkhidmatan sebagai senator pada Khamis.

Usul berkenaan dikemukakan Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor dan disokong Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin sebelum diluluskan dengan undian terbanyak.

Noraini yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Sains Teknologi Sabah berasal dari Penampang, Sabah berketurunan Kadazan telah diterima dan didaftarkan sebagai peguam di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak pada 1994.

Beliau telah berkhidmat sebagai peguam bela dan peguam cara selama 27 tahun di Sabah serta mempunyai firma guaman sendiri ditubuhkan pada 2003, selain berpengalaman dalam pembangunan hartanah korporat, komersial serta perbankan kewangan.

Speaker DUN, Datuk Kadzim Haji M Yahya kemudian menangguhkan persidangan dewan ke suatu tarikh yang akan ditentukan kemudian. - Bernama

Artikel Berkaitan: